Penghantar makanan yang gambarnya menunggang motosikal sambil mendukung anaknya tular, kini berharap situasi kewangannya akan bertambah baik selepas kisahnya disiarkan di media.
Ibu tunggal Azimah Abdul Rahim, 37, berkata ramai rakyat Malaysia memberi sumbangan kepadanya selepas gambarnya disiarkan Utusan Malaysia minggu ini.
“Saya terima banyak sumbangan daripada porang ramai dan ada hamba Allah yang pos barangan keperluan ke rumah seperti baju, mainan anak dan lain-lain,” katanya seperti dilapor media.
Penghantar makanan Foodpanda itu yang gambarnya dirakam ketika melalui kawasan Lembah Pantai, Kuala Lumpur berkata, tiada sesiapa yang menjaga anak perempuannya yang buta, jadi dia mesti membawanya ke mana-mana.
Gambarnya bersama anak kecil berusia enam tahun, Nur Ainul Zahirah Rashidi tular dengan beberapa pengguna internet berkongsi apa yang mereka dakwa sebagai butiran akaun bank ibu tunggal itu dan alamatnya.
Kesahihan butiran perbankan yang dikongsi di platform media sosial tidak dapat disahkan.
Antara yang tampil membantunya ialah pendakwah Ebit Liew, yang menghadiahkannya sebuah Perodua Viva.
Katanya, dia berhasrat menggunakan kenderaan itu untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing.
Azimah memberitahu Utusan dia juga berharap permohonannya untuk perumahan awam (PPR) diperkenankan, supaya dia boleh bekerja dari rumah sebagai penjual makanan sejuk beku dalam talian sambil menjaga anak perempuannya.
Dia menggesa semua ibu tunggal dan ibu bapa kanak-kanak kurang upaya untuk terus berjuang menjaga anak-anak mereka.
“Jangan menyerah walaupun kita mempunyai anak istimewa, ramai atau kehidupan susah ke. Jangan putus asa, selagi Allah beri rezeki kita terima dan pedulikan apa orang mahu kata. Jangan down, hidup demi anak,” katanya
Bukan satu-satunya kes
Pada Jun lalu, seorang pekerja khidmat penghantaran tular selepas seorang pengguna media sosial berkongsi gambarnya bekerja sambil membawa anak kecilnya di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Bapa kepada tiga anak itu dilaporkan terpaksa membawa anak bongsunya ke tempat kerja kerana keluarga itu tiada pilihan lain.
mStar melaporkan pengguna media sosial Kharirul Fazli, 42, berkata, dia cemas melihat kaki kecil terjuntai di atas motosikal menunggu di lampu isyarat, dan mendongak untuk melihat seorang bayi didukung bapanya.
Rakan penghantar Grab itu memegang pemegang motosikal dengan sebelah tangan manakala sebelah lagi tangannya melindungi kepala kanak-kanak itu daripada matahari petang, kata Khairul yang juga menaiki motosikal.
Apabila siaran TikTok Khairul tular, pendakwah Liew dilaporkan menghadiahkannya sebuah motosikal baru dan berjanji untuk membayar yuran penjagaan bulanan anaknya.