Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bas percuma anak perantau, siswa T'ganu balik undi

Kerajaan Terengganu akan menyediakan bas percuma bagi membolehkan pengundi luar pulang menunaikan tanggungjawab kepada negara dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim (gambar, bawah) berkata inisiatif tersebut dibuat atas tanggungjawab kerajaan negeri untuk membantu pengundi luar pulang pada PRU15.

"Di peringkat kerajaan negeri Terengganu kita membantu semua perantau-perantau yang ingin pulang (mengundi) dengan menyediakan bas.

"Kita buka ruang untuk mahasiswa dan perantau mendaftar dan saya difahamkan sudah mencecah hampir 200 buah bas kalau tak silap (disediakan), rekod terkini saya belum dapat.

"Tapi anak-anak perantauan sangat bersemangat untuk balik walaupun kali ini mereka tahu mereka perlu balik sekali lagi PRN nanti.

"Jadi, perkembangan positif ingin balik (mengundi) ini merupakan kesedaran yang sangat tinggi untuk terlibat dalam pilihan raya," katanya.

Hishamuddin berkata demikian dalam sidang media PRU15 di Pusat Media PN Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Mengulas lanjut, Hishamuddin turut menafikan bantuan bas percuma itu dibuat bagi meraih undi pengundi luar.

Terbuka parti lawan

Timbalan exco pembangunan belia, sukan dan NGO negeri itu berkata bantuan bas percuma itu turut terbuka kepada pengundi parti lawan juga.

"Dakwaan PAS bergantung harap pada (undi) perantau tidak benar, sebab bukan sahaja perantau daripada PAS, perantau dari kalangan parti lawan juga.

"Jadi, dakwaan bergantung harap pada perantau tidak benar tapi tanggungjawab kami," tegasnya.

Sementara itu, Hishamuddin turut menjelaskan parti itu tidak mengemukakan ramai calon muka lama pada PRU15 kali ini.

Sebaliknya, kata Hishamuddin PAS mengemukakan calon bertenaga dan berpengalaman bagi mempersiapkan ahli parlimen dari parti itu untuk memainkan peranan di peringkat pentadbiran negara.

"Sebenarnya (PAS) tidak (letakkan calon lama), kita kemukakan calon bertenaga dan calon berpengalaman.

"Jadi, tidak timbul isu anak muda tersisih dan sebagainya kerana kita masih ada pilihan raya negeri (PRN) dan PAS negeri Terengganu sangat memberikan perhatian terhadap calon-calon muda ini.

"Jadi, untuk menggambarkan bertapa seriusnya PAS untuk mengemukakan ahli-ahli parlimen yang bakal membantu pentadbiran negara kita kemukakan yang berpengalaman, kita kemukakan yang masih bertenaga dan kita kemukakan mereka yang sangat bersih untuk memainkan peranan di peringkat pentadbiran negara," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hisahmuddin berkata manifesto PAS di Terengganu akan diselaraskan dengan janji yang akan dibuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang akan dilancarkan malam ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS