Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bermula semalam dan beberapa ahli politik yang berpaling tadah menukar sokongan dengan melompat parti akan mempertahankan kerusi mereka.

Malaysiakini mewawancara beberapa ahli politik ini mengenai label 'katak politik' dan 'pengkhianat' serta peluang mereka dalam meyakinkan pengundi untuk sekali lagi memilih mereka.

Sivasubramaniam, yang telah bertukar parti empat kali sejak 2020, mempertahankan kerusi DUN Buntong pada PRU15 – tetapi kali ini sebagai calon bersekutu Bersatu di bawah Perikatan Nasional.

Pada 9 Mac 2020, Sivasubramaniam mengumumkan dia keluar DAP, bersama rakan seperjuangan dan penyandang Adun Tronoh Paul Yong, untuk menjadi calon bebas berikutan kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Harapan pada 2020.

Sivasubramaniam pada hari penamaan calon.

Selepas tiga bulan tidak berparti, dia menyertai Gerakan - tetapi tidak lama.

Bersama-sama dengan Paul, dia kemudian menyertai Bersatu pada Mac 2021. Bagaimanapun, keanggotaan mereka dalam parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu tidak bertahan lama kerana kedua pemimpin itu “melompat parti” berpaling tadah menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baru ditubuhkan pada awalnya tahun ini.

Hanya dua minggu sebelum perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15, Sivasubramaniam membuat lompatan terakhirnya - untuk menyertai semula Bersatu sebagai ahli bersekutu.

Berikutan langkah politiknya melompat empat parti berbeza dalam penggal pentadbiran yang sama, bekas ketua partinya dalam DAP, Nga Kor Ming (gambar, bawah) menggelarnya sebagai "juara katak".

Namun, Sivasubramaniam berkata keadaan tidak seperti digambarkan Nga.

"Apa yang dia tahu? Apa yang dia telah berikan kepada orang Perak?

“Saya berada di lapangan bersama rakyat sepanjang masa. Mereka tahu apa yang saya lakukan dan saya sangat yakin dengan kerja saya di kawasan pilihan raya saya,” kata Sivasubramaniam kepada Malaysiakini.

Dia juga mengenepikan label "pengkhianat" dan sebaliknya menegaskan dia "penyelamat rakyat".

"Kami bukan pengkhianat (pengkhianat)," katanya ketawa.

Alasan kukuh keluar DAP

“Apa yang kamu maksudkan dengan pengkhianat? Adakah pengkhianat bermaksud kita melompat dari satu parti ke parti yang lain.

“Kita ada alasan kukuh kenapa kita mahu keluar parti (DAP) kerana apa sahaja yang mereka janjikan dalam manifesto PRU14, mereka tidak tunaikan kepada rakyat.

“Saya tidak boleh kembali dan bersemuka dengan rakyat untuk memberitahu mereka untuk mengundi saya semula. Saya tidak boleh menipu pengundi dengan memberitahu mereka jika saya berada dalam kerajaan yang memerintah, saya boleh menunaikan (janji).”

Katanya, pengundi Buntong masih mahu dia berkhidmat kerana telah menunaikan apa yang dijanjikan.

"Saya tidak perlu bercakap untuk diri saya sendiri. Orang ramai mengatakan saya berada di lapangan dan saya memenuhi apa yang rakyat mahu. Saya di sana bersama rakyat dan untuk rakyat."

Pada PRU14, dia menewaskan lawannya daripada MIC dan PSM di Buntong dengan memperoleh majoriti besar 15,323 undi.

'Tak ada siapa fikir saya pengkhianat'

Pada pilihan raya ini, Sivasubramaniam bertanding lima penjuru untuk merebut kerusi Buntong, menentang calon PH T Manogaran, S Jayagopi daripada BN, dan dua calon bebas – Sebastiar dan Muhammad Faiz Abdullah.

Paul (gambar, bawah) berkongsi sentimen yang sama, mengatakan label "pengkhianat" hanyalah agenda yang dibawa oleh bekas partinya.

“Tidak ada sesiapa (dalam kawasan pilihan raya ini) menganggap saya pengkhianat. Saya keluar DAP kerana kerajaan sudah tumbang.

“Anda harus faham, saya tidak terlibat dengan mana-mana pihak untuk menggulingkan kerajaan (ketika itu),” tegasnya.

Walaupun mendapat galakan pengundi di kawasannya supaya dia bertanding dalam pilihan raya negara, pemimpin PBM itu berkata lebih selamat untuk meletakkan anak sulungnya, Bryan Yong sebagai calon.

“Orang ramai hendak saya terus bertanding. Tetapi kerana saya tahu SPR boleh menolak saya, saya tidak mahu bertanding.

“Jadi saya letakkan (calon) anak saya (Bryan),” katanya kepada Malaysiakini.

Paul menjadi Adun DAP selama tiga penggal dan bekas exco Perak antara 2018 dan 2020.

Bagaimanapun, masa depan politiknya terjejas pada 2019 apabila dia dituduh merogol pembantu rumah di kediamannya.

Pada 27 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati dia bersalah serta menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan. Dia merayu keputusan itu.

DUN Tronoh akan menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan Bryan, Steven Tiw (PH), Sin Koon Yen (PN), Leong Chee Wai (BN), Roslan Ismail (GTA), dan calon bebas Meor Shahimudin Hasim.

'Orang bandar benci katak bukan pengundi saya'

Sementara itu, seorang lagi bekas anggota DAP dan penyandang Adun Malim Nawar, Leong Cheok Keng, turut melompat parti.

Ini selepas keahliannya ditamatkan oleh DAP awal tahun lalu kerana disyaki menyertai MCA.

Leong (gambar, bawah) kekal sebagai Adun bebas, dan kemudiannya menyertai PBM pada 14 Januari.

Bagaimanapun, dua hari sebelum hari penamaan calon (5 Nov), dia memberitahu pemberita pada saat-saat akhir akan mempertahankan kerusinya atas tiket Warisan, memetik beberapa masalah partinya sebelum ini, PBM.

“Saya akan bertanding di bawah Warisan kerana pertikaian jawatan presiden PBM.

“Memandangkan Warisan parti berbilang kaum yang selaras dengan fahaman politik saya, saya memutuskan untuk menggunakan logo mereka selepas mendapatkan maklum balas daripada kepimpinan.

Kebebasan berpersatuan

“Saya baru bertukar menyertai Warisan beberapa hari lalu, jadi jangan timbul isu menuduh saya lompat parti. Saya bukan lagi Adun di sini, ini adalah kebebasan berpersatuan,” katanya kepada Malaysiakini.

Mengakui sentimen pengundi bandar yang dikatakan membenci katak politik, Leong menjelaskan golongan ini bukan pengundinya.

“Mereka tinggal di bandar dan tidak memahami keperluan rakyat saya.

“Penduduk di sini perlukan khidmat saya. Daripada membaiki lampu jalan kepada membina jalan baru, menangkap ular, dan membersihkan longkang.

"Mereka memerlukan khidmat kami dan kami sebenarnya melayani mereka dengan baik," katanya.

Leong bertanding tiga penjuru untuk Malim Nawar pada PRU14, menentang Chang Gwo Chyang (MCA) dan K Bawani (PSM).

Dia menang kerusi DUN itu dengan majoriti 6,082 undi dan pada PRU15 ini dicabarcalon PH Shasha, Sherry Syed daripada PN, dan calon BN Chin Woon Kheong .

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Kuala Kurau Abdul Yunus Jamahri melahirkan keyakinan dia akan dapat mempertahankan kerusi yang disandangnya selama tiga penggal mewakili PKR.

Yunus keluar PKR berpaling tadah daripada gabungan PH pada Mac 2020 untuk "secara sukarela" menyertai Bersatu.

"Siapa saja yang dicalonkan di Kuala Kurau saya tak kisah namun maklum balas dari rakyat di sini, mereka lebih mengutamakan faktor calon tempatan dan mampu memberi perkhidmatan dan membawa pembangunan.

"Saya yakin berdasarkan rekod perkhidmatan selama tiga penggal ini rakyat dapat menilai siapa wakil rakyat yang mereka mahukan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Bekas Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim

Pada pilihan raya umum lalu, Yunus menewaskan lawannya daripada BN dan PAS dengan 2,643 undi.

Untuk PRU15, dia akan menghadapi pertembungan tiga penjuru dengan calon PH Cikgu Anuar dan Mohd Jamil Jahaya daripada BN.

Sementara itu, bekas Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (gambar, atas) yang sebelum ini berpaling tadah daripada Amanah bersama-sama Sivasubramaniam dan Paul pada Mac 2020, kembali ke pangkuan gabungan PH pada Oktober ini.

Bagaimanapun, Hasnul berkata dia tidak mempertahankan kerusinya kali ini dan akan berkempen untuk memastikan calon PH Muhamad Nakhaie Abd Wahab muncul sebagai pemenang PRU15.

Pemilih akan membuang undi pada 19 November depan bagi menentukan nasib ahli politik yang berpaling tadah ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS