Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cabaran besar menanti Mas Ermieyati walau disenangi di Masjid Tanah

Dekat jalan utama di Masjid Tanah, Melaka, terdapat sebuah mural di salah satu bangunan di situ memaparkan pekan kecil itu, penduduknya dan Mas Ermieyati Samsudin yang telah menjadi ahli parlimen itu sejak hampir satu dekad lalu.

Bagi ramai pengundi di situ, Mas Ermieyati adalah wakil rakyat yang cukup disenangi dan dihormati, termasuk kalangan yang mempunyai keyakinan politik yang berbeza.

Pernah menjadi ketua Puteri Umno, dia meraih kemenangan meyakinkan pada PRU 2013 dan 2018.

Namun, keputusannya untuk keluar Umno dan menyertai Bersatu dilihat membuatkan penyokong setianya berbelah bahagi pada PRU15.

Bagi pengundi yang hanya ingin dikenali sebagai Siti Norliza, sudah tiba masanya untuk perubahan di kubu kuat BN itu. Berikrar akan menyokong Mas Ermieyati, dia berkata sudah bosan dengan apa yang disifatkannya sebagai korupsi dalam BN.

Dia memberitahu Malaysiakini walaupun Mas Ermieyati bertukar parti, dia tetap membantu penduduk di situ.

Siti Norliza

"Dulu saya ikut parti, tapi sejak dia bertukar saya akan ikut dia. Dia ada cara yang baik, cara dia datang ke kampung kami dan berinteraksi dengan kami.

"Ada lampu di jalan, jalan pula bersih. Ada pembangunan seperti pusat sumber," katanya yang tinggal di Kampung Semut.

PRN Melaka jadi petanda?

Di sebalik popularitinya, Mas Ermieyati tewas dalam PRN Melaka pada tahun lalu. Dia tewas di DUN Tanjung Bidara di tangan Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusof dengan perbezaan 364 undi.

PN pula tewas dengan jurang lebih besar di kerusi lain di Masjid Tanah.

Data pengundian di lima DUN di situ pada PRN tersebut menunjukkan BN mendapat sokongan 54.5 peratus, disusuli PN (30.3 peratus) dan PH (15.2 peratus). Ia membayangkan kebanyakan penyokong Mas Ermieyati masih kekal bersama BN.

Beberapa pengundi yang ditemui Malaysiakini memberitahu mereka akan kekal menyokong parti walaupun mengakui sumbangan Mas Ermieyati di Masjid Tanah.

Ismail, yang berniaga di pasar di situ, berkata dia merasakan dia hanya boleh mengundi berdasarkan parti memandangkan calon cenderung untuk bertukar parti.

Menjadikan lampu suluh sebagai analoginya, Ismail yang nampak bosan dengan politik berkata calon hanya menyuluh dengan terang ketika musim pilihan raya dan menjadi malap selepas menang.

"Kita tak boleh ikut calon sebab mereka katak, kita mesti ikut parti. Ini bukan tentang mereka bagus atau tidak, tetapi sebab kita terpaksa (undi parti) sebab sudah tiada orang lain," katanya.

Mas Ermieyati keluar Umno pada 2018 kerana kecewa dengan kemenangan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden ketika pemilihan pada tahun itu. Dia masuk Bersatu setahun kemudian.

Empat tahun telah berlalu namun kekecewaan terhadap tindakan itu masih dirasai di Masjid Tanah.

‘Pengkhianat’

Ketika Malaysiakini singgah di Pengkalan Balak, perkampungan nelayan dan pelancongan kira-kira tujuh kilometer dari bandar, terdapat poster Mas Ermieyati dengan label :pengkhianat" ditampal.

Poster itu turut tertulis: "Mengapa kau khianat kami pengundi Masjid Tanah atas kepercayaan yang diberi. Jangan pentingkan diri sendiri."

Seorang peniaga yang enggan dinamakan berkata poster itu ditampal beberapa hari lalu namun tidak jelas pihak di belakangnya.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Mas Ermieyati mengakui cabaran terbesarnya dalam PRU15 adalah untuk meraih sokongan di kawasan yang menurutnya adalah "deposit tetap" BN.

Katanya, selepas menyertai PN, dia perlu berusaha lebih keras untuk meraih kepercayaan dan sokongan pengundi di situ.

Di saat pengundi muda sedar dia kini bertanding di bawah tiket PN, pengundi yang lebih berusia merasakan masih bersama BN, katanya lagi.

"Saya juga terima beberapa laporan (pengundi) terima panggilan (tak dikenali) yang memaklumkan saya tak lagi bersama PN, tapi dalam BN. (Mereka diberitahu) untuk undi BN pada 19 Nov ini jika nak sokong saya.

"Ini kekal salah satu cabaran terbesar saya. Tak mudah untuk saya bertanding di Masjid Tanah," katanya.

Pasukan pilihan raya Mas Ermieyati - yang beroperasi di salah satu lot kedai di bangunan yang memaparkan muralnya - sedar akan sentimen "utamakan parti" di kalangan pengundi.

Tapi bukan itu sahaja yang bermain di fikiran mereka

Pengundi luar, wanita, muda

Mereka yang enggan dinamakan memberitahu Malaysia bahawa kecenderungan pengundi luar dan baru masih tidak dapat dipastikan.

Susulan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik, pengundi Masjid Tanah bertambah sebanyak 17,283 (33.36 peratus) dan ia mampu menjadi faktor penentu.

Tetapi bukan PN sahaja yang bimbang dengan perkara ini.

Di belakang pusat operasi Mas Ermieyati adalah Taman Bandar Baru. Di hari biasa, tiada apa-apa yang menarik berlaku di situ.

Namun, pada Khamis lalu, sekumpulan wanita berpakaian BN berkumpul di ruang tamu di rumah seorang pemimpin Wanita Umno tempatan, yang hanya ingin dikenali sebagai Puan Saadiah.

Turut bersama adalah Adun Taboh Naning Latipah Omar.

Saadiah menggesa anggota Umno di Masjid Tanah untuk menguar-uarkan kepentingan mengundi parti itu kepada pengundi.

Kira-kira 20 wanita yang memenuhi ruang tamu itu diminta menyampaikan pesanan itu kepada anak-anak mereka dan golongan muda, dengna janji berkaitan pendidikan dan peluang pekerjaan.

Di sebelah Latipah adalah Abdul Hakim Abdul Wahid, 37. Dia adalah ketua Pemuda Umno Masjid Tanah yang menjadi calon di kerusi Parlimen itu kali ini.

Ini kali pertama dia bertanding, juga barangkali kali pertama berdepan jadual padat yang perlu dilaluinya sepanjang tempoh kempen ini.

Pada sesi minum teh bersama ibu tunggal di Kuala Linggi kemudiannya, dia kelihatan seperti seorang yang mudah didekati.

Dia berjanji akan berkhidmat kepada golongan wanita di Masjid Tanah, terutama yang berdepan kesukaran sosioekonomi.

"Insya-Allah saya akan balas sokongan persatuan ibu tunggal di DUN Kuala Linggi. Ibu saya juga ibu tunggal. Saya faham memang sukar," katanya.

Muka baru dari Muda

Selain Mas Ermieyati dan Hakim, seorang lagi calon di Masjid Tanah adalah Mutalib Uthman dari Muda.

Sekali imbas, Mutalib - yang merupakan ahli perniagaan dalam bidang penerbitan dan pendidikan - dilihat akan memberi cabaran di situ.

Namun, di kawasan majoriti Melayu di mana calon tempatan antara faktor utama, Mutalib yang berasal dari Perak akan berdepan tugas yang amat sukar.

Untuk ada peluang kemenangan, Muda yang mengadakan kerjasama pilihan raya dengan PH perlu mendapat sokongan sebahagian besar pengundi baru Masjid Tanah, kira-kira 18,000 orang.

Seorang pengundi muda, Izzah berkata dia tidak akan mengundi Mutalib.

"Saya jadi takut bila dengar orang kata tentang PH, jadi dari awal saya tolak (pengerusi PH) Anwar Ibrahim," kata wanita berusia 20 tahun itu kepada Malaysiakini.

Pelajar itu mengakui dia tidak begitu tahu tentang keadaan politik dan bergantung kepada nasihat orang lain, tetapi pada masa sama berkata dia banyak mendengar hal-hal positif berkaitan Mas Ermieyati.

"Saya akan bincang dengan keluarga sebelum hari mengundi," katanya, sambil menambah keluarganya juga masih tidak tahu calon yang akan diundi.

Namun, tetap ada penyokong PH di Masjid Tanah yang boleh diharapkan Mutalib. Antaranya Abu Hussin Tamby, penyokong kuat PH, yang pernah bertanding di DUN Ayer Limau di bawah tiket PKR pada 2008.

Abu Hussin

Abu Hussin yang menjadi penjual sayur selepas wabak Covid-19 berkata sementara Mas Ermieyati menjaga kebajikan penduduk Masjid Tanah dengan baik, dia kurang hala tuju dalam soal ekonomi.

Lelaki berusia 52 tahun itu mengeluh tentang kurangnya pembangunan dan peluang di Masjid Tanah jika dibandingkan dengan lima kawasan Parlimen lain di Melaka.

"Kawasan ini sekian lama dipegang menteri. Dulu ada Abu Seman Yusop, timbalan menteri dalam negeri. Kemudian Mas Ermieyati yang juga timbalan menteri. Jadi sepatutnya ada pembangunan di sini," katanya.

Turut bertanding di Masjid Tanah adalah Handrawirawan Abu Bakar yang mewakili Gerakan Tanah Air.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS