Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tujuh sekeluarga di Tg Karang dipindahkan lepas rumah dinaiki air
Diterbitkan:  Nov 6, 2022 10:12 AM
Dikemaskini: 2:12 AM

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memindahkan tujuh sekeluarga di Tanjong Karang selepas rumah mereka dinaiki air, awal pagi ini.

Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata semua mangsa dipindahkan selepas kawasan itu, termasuk Pasar Awam Tanjong Karang, dilanda banjir kira-kira setinggi satu meter pada jam 4.10 pagi.

Menurut Berita Harian, dia berkata banjir berlaku akibat ban yang pecah, menyebabkan limpahan di Sungai Kajang.

Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian jam 4.07 pagi dan sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dihantar ke lokasi kejadian.

"Pada mulanya, air Sungai Kajang melimpah ke sekitar pekan Tanjong Karang namun tidak membabitkan rumah penduduk sekitar," katanya seperti dipetik.

Namun, katanya, pada jam 5.24 pagi pihaknya mendapati paras air telah naik sehingga satu meter di sekitar kawasan Pasar Awam Tanjong Karang.

Susulan itu, katanya lagi, pihakanya memindahkan tujuh sekeluarga di situ, termasuk seorang wanita berusia 70 tahun, ke Jalan Kilang Padi yang tidak dinaiki air.

"Pada jam 6.13 pagi, didapati air mula menunjukkan trend penurunan. Bagaimanapun, bomba masih melakukan pemantauan di lokasi kejadian," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS