Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bimbang pencalonan ditolak SPR, Paul Yong hantar anak pertahan Tronoh

Bimbang dihalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada bertanding sebagai calon pada pilihan raya umum (PRU) ke-15, penyandang DUN Tronoh Paul Yong tidak mempertahankan kerusi DUN di Perak itu.

Walaupun mendapat galakan daripada pengundi di kawasannya supaya dia bertanding dalam PRU kali ini, Paul (atas) berkata adalah lebih selamat untuk meletakkan anak sulungnya, Bryan Yong.

“Orang ramai terus ajak saya bertanding. Tetapi kerana saya tahu SPR boleh menolak saya, saya tidak mahu bertanding.

“Jadi saya letakkan anak saya,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Paul sebelum ini merupakan Adun DAP tiga penggal dan bekas exco Perak antara 2018 dan 2020 sebelum meninggalkan parti itu selepas karier politiknya terjejas pada 2019 kerana dituduh merogol pembantu rumahnya.

Pada 27 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati dia bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan. Dia merayu keputusan itu.

Ditanya sama ada dia yakin Bryan akan menjadi penggantinya di kerusi itu, dia berkata: “Jika dia boleh menang, kami akan terus berkhidmat kepada rakyat di Tronoh.

“Tetapi jika kami kalah, tidak mengapa. Kami akan terus menjalankan perniagaan kami. Bagi saya, tidak mengapa," katanya.

“Jika rakyat masih memerlukan kita untuk berkhidmat, maka kita akan berkhidmat kepada mereka. Jika tidak, kita juga boleh terima,” tambahnya.

Paul Yong (duduk tengah) dan anaknya, Bryan Yong (berdiri)

Dia juga menolak label "pengkhianat" yang diberikan oleh pengkritiknya dan menegaskan bahawa ia hanyalah agenda yang dibawa oleh bekas partinya, DAP.

“Tiada sesiapa (dalam kawasan pilihan raya) menganggap saya pengkhianat. Saya keluar DAP kerana kerajaan sudah tumbang.

“Anda harus faham, saya tidak terlibat dengan mana-mana pihak untuk menggulingkan kerajaan (ketika itu),” tegasnya.

Dia menegaskan bahawa pengundi Tronoh masih mahu dia berkhidmat kepada masyarakat setempat kerana menurutnya dia membawa pembangunan ke kampung-kampung di sana.

“Kami membawa pembangunan ke setiap kampung di Tronoh, di mana kami membina gelanggang bola keranjang dan dewan serbaguna, dan orang ramai tahu perkara ini.

“Rakyat di kawasan itu mahu mengundi saya. Mereka meminta saya untuk terus bertanding kerana mereka mahu saya berkhidmat kepada mereka,” katanya.

Pada 9 Mac 2020, Paul mengumumkan bahawa dia telah meninggalkan DAP untuk menjadi Adun bebas berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.

Pada Mac tahun lalu, dia menyertai Bersatu. Bagaimanapun, penyertaannya dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu tidak bertahan lama kerana dia kemudiannya menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS