Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khlir akhirnya dapat watikah untuk jadi calon PN di Ketereh

PRU15 | Akhirnya dokumen yang dinanti sudah tiba. Penantian calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Ketereh berakhir malam ini - hanya kira-kira 12 jam sebelum dia mungkin berputih mata.

Menurut Khlir Mohd Nor dia dijadual menerima watikah untuk menjadi calon PN dalam satu majlis untuknya kira-kira jam 9 malam ini.

Katanya majlis itu diadakan di JKR 10 yang merupakan kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan.

"Saya bersyukur kerana parti saya, Bersatu, memberi kepercayaan kepada saya, alhamdulillah.

"Terima kasih juga kepada kepimpinan PAS yang telah bersetuju untuk mencalonkan saya," katanya kepada Malaysiakini malam ini.

Siang tadi Malaysiakini melaporkan bagaimana Khlir berasa dia seperti mahu dimalukan apabila masih tidak mendapat watikah untuk menjadi calon daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika orang lain sudah memilikinya.

Ia juga mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan penyandang kerusi itu - Annuar Musa - yang digugurkan BN akan menjadi pertaruhan PN.

Annuar yang juga bekas setiausaha agung Umno sebelum ini secara berkias menunjukkan tanda-tanda yang dia tidak senang dengan keputusan kepemimpinan tertinggi Umno-BN yang memilih Ketua Puteri Umno Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin, sebagai penggantinya.

Marzuani juga merupakan ketua Puteri Umno Ketereh.

Spekulasi mengenai ‘penghijrahan’ beberapa tokoh kanan Umno itu turut dimarakkan oleh kenyataan Abdul Hadi di Rusila, Marang malam semalam.

Kata Abdul Hadi, selain Shahidan Kassim (Arau) dan Ismail Abd Muttalib (Maran) yang bersetuju bertanding sebagai calon PN, ada beberapa nama lain sedang menunggu masa diisytiharkan menyokong gabungan tersebut.

Petang tadi bagaimanapun Annuar memutuskan dia enggan menerima tawaran daripada parti lain untuk bertanding di kerusi Ketereh.

Sebaliknya dia mengumumkan untuk setia bersama Umno.

"Tetapi Khlir pun kawan saya, kenapa saya nak potong rezeki dia?

"Jadi saya beritahu kepada kawan-kawan serta parti yang nak bawa saya, jangan bergaduh sesama mereka, cukuplah Umno bergaduh sesama Umno kerana saya.

"Tak naklah saya begitu jadi nanti akhirnya saya menyebabkan banyak orang susah, lebih baik saya susah seorang,” katanya.

Khlir memberitahu watikah untuknya itu diserahkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob yang juga pengerusi PN negeri itu.

“Esok kami berkumpulan jam 7.30 pagi,” katanya ketika ditanya perancangan pagi nanti untuk menyerahkan borang pencalonan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS