PRU15 | Selepas memadamkan siri ciapan lamanya, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberikan penghormatan kepada PAS hari ini.
Menganggap parti itu sebagai organisasi yang membawa wadah perjuangan Islam dalam Perikatan Nasional, calon untuk kerusi parlimen Machang itu berkata, dia akan lebih berhati-hati pada masa depan.
Kata Wan Ahmad Fayhsal dia akan terus bersama dengan PN dan PAS untuk memperjuangkan keadilan Serta kesaksamaan untuk Kelantan dan Malaysia menurut tuntutan Islam.
"Saya amat kesali perkara ini, dan akan lebih berhati-hati pada masa hadapan.
"PAS sebagai wadah perjuangan Islam dalam PN telah membuktikan komitmen terhadap pemerintahan prihatin, bersih dan stabil di bawah prinsip amar makruf, nahi munkar," katanya melalui hantaran di media sosial hari ini.
Asalnya Bersatu merupakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU lalu dan secara tidak langsung menjadikan mereka berseteru dengan PAS.
Bagaimanapun ekoran jatuhnya PH secara luar pilihan raya pada 2020, Bersatu menjalin kerjasama dengan PAS dan membentuk PN. Ketika ini kedua-dua mereka menjadi parti utama dalam gabungan tersebut.
Bagi menghadapi PRU pada 19 Nov ini, calon Bersatu yang bertanding di Kelantan dan Terengganu akan menggunakan lambang PAS, manakala di tempat lain mereka memilih logo rasmi PN.
Terdahulu, ciapan dikatakan dibuat Wan Fayhsal pada masa lalu menyebut ‘Bodoh penyokong PAS’ telah mendapat maklum balas netizen yang mempertikai pemimpin Bersatu itu.
Susulan itu, Wan Fayhsal memohon maaf kepada ahli PAS kerana pernah menggunakan "kata-kata yang kurang sopan."
PN meletakkan ketua Armada Bersatu itu sebagai calon parlimen Machang di Kelantan dan akan bertanding PRU15 menggunakan lambang 'bulan' PAS.
Selain Machang, PN Kelantan bersetuju calon Bersatu turut bertanding di Jeli, Tanah Merah, Gua Musang dan Ketereh.
Ketua Armada itu akan berhadapan Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub yang menang parlimen Machang pada PRU14 dengan majoriti 2,824 menewasakan calon PAS dan Pakatan Harapan (PH).