Veteran DAP Lim Kit Siang menasihatkan ahli politik seangkatan dengannya Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
"Saya minta Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menolak penamaan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
"Serahkan usaha untuk memenuhi impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia kepada golongan anak muda di Malaysia," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Lim, 81, mengumumkan persaraannya daripada politik pada Mac lalu dan tidak akan diletakkan sebagai calon pada PRU15.
Sementara itu, Mahathir, 97, merancang untuk mempertahankan kerusinya di Langkawi sekali lagi, walaupun sebelum ini berkata dia tidak mempunyai rancangan sedemikian.
BN pula masih mengekalkan Tengku Razaleigh, 85 bertanding di parlimen Gua Musang.
Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li memegang rekod sebagai wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini iaitu selama 12 penggal di peringkat parlimen dan negeri.
Dia mula bertanding di kawasan DUN Ulu Kelantan Barat pada 1969 dan berjaya menewaskan calon PAS, Hussin Abdullah.
Kemudian Razaleigh beralih ke kerusi parlimen pada 1974 bertanding di kawasan Gua Musang, yang dahulu dikenali sebagai parlimen Ulu Kelantan dan kekal sebagai wakil rakyatnya.
Lim hari ini menulis warkah terbuka kepada semua calon PRU15, menyatakan Malaysia telah jauh menyimpang daripada prinsip asal pembinaan negara sebagaimana yang digagaskan tokoh kemerdekaan terdahulu.
"Kita pernah beraspirasi, seperti yang dikatakan oleh bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman, untuk menjadi 'sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu' tetapi dalam enam dekad yang lepas, kita sebaliknya menyumbangkan kegelapan dalam dunia.
"Veteran Umno yang juga merupakan setiausaha politik kepada ketua menteri Pulau Pinang yang pertama, Tan Sri Yusoff Latiff, selalu suka mengenang kembali detik ketika arwah Tunku Abdul Rahman mengambil alih pimpinan Umno dari Onn Jaafar pada tahun 1951, di mana ketika itu parti tersebut tidak ada wang, dan Tunku telah menjual rumahnya di Pulau Pinang untuk membiayai urusan Umno," katanya.
"Empat Presiden Umno yang terawal, Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, dan Tun Hussein Onn, tidak akan sama sekali membuat kenyataan terus-terang yang dibuat oleh Presiden Umno hari ini, Ahmad Zahid Hamidi,” kata Lim.
Dia merujuk kenyataan Zahid pada Perhimpunan MIC pada hari parlimen dibubarkan – bahawa PRU15 diadakan untuk menyelamatkan 'kluster mahkamah' Umno dan Barisan Nasional daripada didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah dan dipenjarakan.
Lim berkata tidak ada seorangpun daripada empat presiden terawal Umno akan membiarkan Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah kleptokrasi di seluruh dunia, apatah lagi membiarkan Malaysia dikenali sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk.”
"Kisah “kolam renang” Tun Abdul Razak Hussein kini terkenal selepas diceritakan oleh anak bongsunya, Nazir, yang memberitahu, bapanya, dengan mengangkat keningnya, bertanya kepada mereka: “Bagaimanakah rupanya sekiranya perdana menteri membelanjakan wang awam untuk membina sebuah kolam renang untuk keluarganya?”
Menurut Lim lagi, tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Tan Cheng Lock, Tan Siew Sin, dan VT Sambanthan tidak akan membiarkan Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk.
"Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, kleptokrasi merujuk kepada satu orang dan skandal 1MDB.
"Dalam Pilihan Raya Umum ke-15, kleptokrasi merujuk kepada lebih dari satu orang dan lebih dari skandal mega 1MDB.
"Malaysia telah tersesat jalan. Kita perlu tetapkan semula hala tuju kita dan kembali kepada prinsip yang ditetapkan oleh tokoh kemerdekaan – negara beraja perlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, tadbir urus yang baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara dan keharmonian dari masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya," katanya.
Masih boleh diselamat
Malaysia telah ditinggalkan di belakang satu demi satu negara dari segi ekonomi, kata Lim memberi contoh Taiwan, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, dan Vietnam.
"Melainkan kita bangkit semula, kita akan ditinggalkan di belakang lebih banyak negara lagi.
"Kita perlu sedar yang Malaysia berada dalam masalah, yang dapat dilihat dari nilai Ringgit Malaysia kita, di mana pada suatu ketika dahulu, satu Ringgit Malaysia bersamaan dengan satu Dolar Singapura, kini satu Dolar Singapura sudah bersamaan dengan RM3.345," katanya.
Lim menjelaskan Malaysia masih boleh diselamatkan dan patut diselamatkan.
"Marilah semua calon-calon berjanji untuk melakukan sebaik mungkin untuk mengelakkan Malaysia menjadi satu lagi Sri Lanka atau Zimbabwe menjelang ulang tahun ke-100 negara, supaya Malaysia dapat memenuhi potensinya untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sepenuhnya seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963," katanya.
Jelasnya lagi, PRU15 amat penting dalam sejarah politik Malaysia.
"Tambahan lagi, Bagan Datuk patut menjadi pertarungan satu lawan satu di antara kleptokrasi dan rakyat Malaysia," katanya.
Bagan Datuk ialah tempat Ahmad Zahid bertanding pada PRU15 dan dijangka dia bakal berdepan calon Pakatan Harapan Shamsul Iskandar Akin dan calon bebas Tawfik Ismail, yang juga anak sulung bekas timbalan perdana menteri, Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman.