Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Noh Omar perjelas isu kerusi Parlimen Tanjong Karang hari ini
Diterbitkan:  Nov 4, 2022 9:15 AM
Dikemaskini: 1:15 AM

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Tan Sri Noh Omar malam tadi hanya menyerahkan 21 daripada 22 watikah kepada calon untuk bertanding di kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau memaklumkan tidak menerima watikah daripada BN pusat untuk diserahkan kepada Datuk Habibah Mohd Yusof yang dipilih sebagai calon bagi mewakili BN di Parlimen yang disandangnya selama enam penggal.

“Malam ini watikah yang ada pada saya hanya 21, untuk Tanjong Karang saya belum dapat lagi,” katanya kepada media selepas penyerahan watikah berkenaan di Shah Alam, malam tadi.

Noh berkata sebelum pengumuman calon BN bagi PRU15 pada Selasa lepas, beliau telah berbincang dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selain membawa usul serta memorandum daripada Umno bahagian dan Umno cawangan Tanjong Karang yang mahu dirinya dikekalkan sebagai calon.

“Jadi kalau nak tahu sebab-sebab saya tak disenaraikan, saya akan umumkan di Tanjong Karang esok (hari ini) ketika saya melancarkan pengenalan calon sebab para pengundi di sana tertanya-tanya mengapa saya tidak dicalonkan," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan kekal bersama BN meskipun tidak dinamakan sebagai calon yang bertanding pada PRU15, Noh hanya berkata: “Tunggu esok (hari ini).”

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Noh berkata barisan calon BN yang dipilih bertanding di Selangor kali ini meliputi semua lapisan masyarakat termasuk tokoh muda dan wanita seperti Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Hizatul Isham Abdul Jalil.

“Diharapkan anda semua akan menjadi ikon terutama bagi pengundi muda yang begitu ramai jumlahnya dan para pengundi akan berubah serta kembali menyokong BN,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS