Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersatu digesa pertimbang semula calon di Segamat

Sayap bersekutu Bersatu Segamat meminta pucuk pimpinan parti itu untuk meneliti semula pilihan calonnya untuk kerusi Parlimen itu pada PRU15.

Ketuanya, Sivarajah M Ayadurai mendakwa calon yang dinamakan Perikatan Nasional (PN) buat masa ini, P Poobalan "kurang popular dan tidak aktif" di Segamat berbanding calon daripada PH dan BN.

"Pertamanya, calon PN ini bukan berasal dari Segamat. Walaupun, namanya sudah diumum sehingga hari ini dia tidak membuka bilik gerakan.

"Jentera parti pun tidak berjalan. Ini satu petunjuk jelas bahawa PN jauh di belakang berbanding PH dan BN dan mungkin akan kalah pada PRU jika pucuk pimpinan PN kekalkan calon ini," dakwanya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini telah menghubungi Poobalan untuk mendapatkan responsnya berkenaan dakwaan tersebut.

Di Segamat, PH mempertaruhkan ahli majlis tertinggi PKR R Yuneswaran manakala BN diwakili Bendahari Agung MIC M Ramasamy.

P Poobalan

Sivarajah menyifatkan Ramasamy sebagai seorang jutawan yang disokong jentera kerajaan pusat dan negeri, sementara Yuneswaran mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.

"Jadi, kita perlu mempertandingkan seorang yang mempunyai kekuatan yang sama seperti calon-calon lain," katanya.

Sivarajah juga berkata pada masa ini, Santhara selaku 'heavyweight' dan ada rekod baik di Segamat kekal calon yang terbaik untuk mewakili PN.

"Walaupun dia tidak lagi bersama PN, saya percaya PN perlu beri dia peluang untuk bertanding di Parlimen Segamat," katanya lagi.

Pada PRU 2018, Santhara sebagai calon PKR menumpaskan penyandang ketika itu, iaitu bekas presiden S Subramaniam dengan majoriti 5,476 undi.

Dia meninggalkan PKR ketika Langkah Sheraton untuk menyertai Bersatu sebelum keluar parti itu untuk menyertai PBM pada Oktober lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS