Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO kecewa parti politik tak endah pekerja bergaji rendah

Sebuah NGO hak pekerja berasa kecewa dengan layanan gabungan parti politik kerana didakwa tidak peduli mengenai nasib yang menimpa pekerja bergaji rendah yang bekerja di sekolah dan bangunan-bangunan kerajaan.

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), yang mendakwa mewakili kepentingan kira-kira 400,000 pekerja, hari ini menghantar memorandum kepada Pakatan Harapan (PH), BN, PN dan Gerakan Tanah Air (GTA) berhubung perkara itu.

Ketika dihubungi, Setiausaha Kebangsaan JPKK, M Sivaranjani berkata, JPKK meminta gabungan parti politik terbabit berikrar untuk membantu pekerja yang diabaikan dan menandatangani perjanjian yang dikemukakan kumpulan itu.

Menurutnya, kumpulan itu akan terus menyampaikan mesej kepada pekerja kontrak supaya mereka tahu gabungan politik mana yang akan menjaga kebajikan mereka jika menang dalam PRU kelak.

"Apabila kami tiba di ibu pejabat parti-parti ini, kami tidak nampak orang penting, hanya kakitangan parti yang menerima kami. Masalahnya kami telah memaklumkan mereka pada 28 Okt, dan mereka sepatutnya ada wakil atau orang penting (ditugaskan untuk berjumpa kami). Ini mengecewakan.

“Hanya calon GTA Bentong yang berada di situ dan beliau bersetuju isu itu perlu diambilkira (oleh partinya).

"BN yang paling teruk. Mereka tidak menghantar kakitangan pun (untuk jumpa kami). Kami tunggu di tempat (ibu pejabat parti) itu lama, lebih daripada 40 minit. Kami terus tunggu dan akhirnya mereka cakap tiada sesiapa yang nak turun.

"Kami tiada pilihan, kami buat live dan beredar," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Setiausaha Agung BN, Ahmad Maslan untuk mendapatkan ulasan.

Dalam memorandumnya, JPKK menuntut pekerja terbabit dibayar gaji minimum RM1,500 sebulan, yang berkuat kuasa Mei lalu.

"Kerajaan harus memansuhkan sistem kontrak dan mewujudkan jaminan pekerjaan untuk pekerja kontrak dengan menyerap mereka sebagai pekerja tetap di bangunan kerajaan.

"Pekerja kontrak seperti pembersih dan pengawal keselamatan harus diiktiraf sebagai pekerja barisan hadapan; Kerajaan harus menyenaraihitamkan kontraktor eksploitatif kerana melanggar undang-undang pekerjaan," menurut memorandum itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS