Gerakan Tanah Air (GTA) terus menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar melarang pengundi membawa telefon pintar ke bilik pengundian.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Ketua Penerangan GTA, Mahdzir Ibrahim sebagai desakan supaya segera menguatkuasakan perintah larangan itu.
Menurutnya, gesaan yang dilakukan bagi menghalang pengundi melakukan sesuatu penyalahgunaan dalam proses mengundi.
“Larangan ini penting bagi mengelakkan penyalahgunaan telefon pintar yang boleh digunakan bagi menjual undi untuk mendapatkan wang kotor dari mana-mana pihak,” katanya.
Tambahnya, terdapat pengundi yang mengambil kesempatan menggunakan telefon pintar yang dibawa bagi menuntut ganjaran apabila mengundi pihak tertentu pada pilihan raya sebelum ini.
“Dalam beberapa kejadian sebelum ini termasuk semasa Pilihanraya Negeri Johor, ada pengundi yang mengambil gambar bukti pangkah dan menunjukkan kepada pihak tertentu untuk menuntut bayaran sebagai upah kerana mengundi sesuatu parti,” jelasnya.
“Saya berharap agar desakan ini dapat didengar dan dipertimbangkan oleh SPR dan suatu perintah larangan khusus dapat dikeluarkan dan laksanakan.
Masa masih ada dan ia masih belum terlambat,” kata Mahdzir.
Katanya lagi, SPR sebagai badan bebas yang menyelia proses demokrasi ini harus tegas dan mestilah bertindak dengan betul demi melindungi prinsip 'Undi Itu Rahsia'.
Terdahulu, Pengerusi Pejuang, Mahathir Mohamad pernah memberi teguran kepada pihak SPR terhadap kelemahan dalam pilihan raya.
Dia sebelum ini turut mengeluarkan gesaan terhadap SPR bagi melarang penggunaan telefon bimbit di pusat pengundian ketika proses pembuangan undi.
Menurutnya, pembawaan telefon bimbit semasa mengundi boleh menidakkan rahsia pengundi dan mendorong parti menggunakan maklumat untuk sogokan.
GTA merupakan gabungan beberapa parti kecil tanah air yang diketuai oleh parti Pejuang dalam persediaan menghadapi PRU-15 tidak lama lagi.