Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memutuskan apakah perlu memanggil bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi untuk disoal siasat berhubung skandal kontrak kapal tempur pesisir (LCS).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, suruhanjaya itu akan membuat keputusan berkrenaan selepas bertemu penulis blog, Raja Petra Kamarudin yang mendakwa Zahid menerima sogokan berjumlah RM66 juta daripada kontraktor projek itu.
Azam berkata, SPRM telah berhubung dengan Raja Petra dan bercadang menemui penulis blog itu dalam tempoh seminggu.
"Melibatkan yang dikatakan oleh seorang blogger, Raja Petra ni, kita akan jumpa dialah dalam tempoh terdekat, dalam tempoh seminggu ni,” katanya kepada Malaysiakini.
Ditanya apakah SPRM akan memanggil Zahid untuk merakam keterangannya, Azam berkata “bergantung kepada apa yang kita dapat”.
Azam juga berkata pihaknya perlu meneliti dokumen yang diperolehi terlebih dahulu.
Pasukan SPRM yang ditugaskan untuk bertemu Raja Petra -dipercayai berada di England - akan bertemu penulis blog itu di lokasi di luar negara yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Azam berkata, lokasi dan masa belum dapat dipastikan tetapi menyatakan pertemuan itu tidak semestinya berlangsung di UK.
Menurutnya, siasatan tersebut merupakan sebahagian daripada siasatan SPRM ke atas kes LCS yang sedang berjalan.
Suruhanjaya itu sebelum ini menyiasat kes itu di bawah Seksyen 17 Akta SPRM berkaitan rasuah dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan bagi kes pecah amanah.
Dua hari lalu, Raja Petra menerbitkan video di blognya Malaysia-Today di mana penulis blog itu mendakwa dia memiliki bukti yang didakwa menunjukkan kira-kira SGD20 juta telah dibayar secara berperingkat kepada Zahid antara pertengahan 2012 dan pertengahan 2013.
Zahid adalah Menteri Pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013.
Penulis blog itu mendakwa sogokan dibayar melalui pengurup wang di Singapura, yang memindahkan wang itu kepada pengurup wang di Malaysia.
Dia mendakwa wang itu juga telah melalui beberapa lapisan sebelum sampai ke tangan Zahid.
Malaysiakini telah menghubungi Zahid untuk mendapatkan komen mengenai dakwaan itu.