Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Protes calon BN Kedah ibarat 'penyu Rantau Abang' - Jamil Khir

BN Kedah menyifatkan ketidakpuasan hati sesetengah pihak terhadap pemilihan calon PRU ke-15 adalah lumrah setiap kali menjelang pilihan raya.

Pengerusinya Jamil Khir Baharom membuat analogi situasi itu bagaikan “penyu di Rantau Abang”.

"Setakat sekarang Alhamdulillah apabila diumum tak ada protes cuma macam biasalah dalam pilihan raya bila-bila pun macam itulah.

"Selalu saya istilah Umno ini umpama penyu di Rantau Abang, maksud saya penyu di Rantau Abang selepas bertelur dia berenang pi merata Kutub utara, Kutub Selatan.

"Tetapi bila nak bertelur dia balik bertelur di Rantau Abang. Dia tak ke pulau lain, dia tak silap pi ke Pulau Tuba, Pulau Jerejak ke. Dia akan balik ke Rantau Abang untuk bertelur dan teruskan semula renangannya," katanya pada sidang media di Alor Setar, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai protes daripada bahagian-bahagian tertentu susulan pengumuman calon BN baru-baru ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Ketua Umno bahagian Langkawi, Nawawi Ahmad menyatakan rasa tidak puas hati apabila BN mencalonkan pihak dari luar barisan kepimpinan Umno bahagian. 

Katanya tindakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi itu menjadikan Umno Langkawi berasa mereka seolah-olah tidak dihargai.

Jamil Khir, calon BN bagi Parlimen Jerai, mengakui ada pihak yang terluka susulan pemimpin kegemaran mereka tidak dicalonkan.

Akui ada luka

"Umno kalau ada sedikit sebanyak dia terluka dan sebagainya tetapi dia selepas itu akan sedar dan balik kepada Umno semula. 

"Saya dah berjumpa dengan semua rakan-rakan daripada bahagian di Kedah. Misalnya bagi kerusi Kuala Kedah calonnya Dr Mashitah (Ibrahim) dari Baling kemudian ke Gombak tetapi dicalonkan di Kuala Kedah.

"Ada keperluan-keperluan macam itu, macam main bola kadang-kadang seorang pemain import akan mengubah suasana pasukan untuk lebih cemerlang," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS