Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ akan kena ‘kerat’ sekalipun menang, kata Rafizi

Sekalipun jika Khairy Jamaluddin menang di kerusi Parlimen Sungai Buloh dan menyumbang kepada kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), menteri itu berkemungkinan akan diketepikan oleh partinya, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, ini kerana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi melihat Khairy sebagai antara ancaman terbesarnya dalam parti.

“Saya harap pengundi-pengundi di Sungai Buloh faham, satu undi untuk Khairy adalah satu undi untuk Zahid.

“Kalau Zahid menang, maksudnya Umno menang, kemudian Sungai Buloh akan menyumbang kepada undi Umno untuk jadi kerajaan... Saya harap pengundi-pengundi di Sungai Buloh faham yang besar kemungkinan Khairy akan kena kerat.

"Kerana saya tidak nampak bagaimana Zahid selepas Umno menang PRU akan membiarkan

Khairy terus mara dalam Umno kerana dia adalah ancaman terbesar buat Zahid,” Rafizi pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Sambil menyifatkannya sebagai ironi, dia mengibaratkan mengundi Khairy di Sungai Buloh seperti memberi Zahid pedang untuk "mencincang" Khairy dalam parti itu.

“Jika Umno menang, Zahid jadi perdana menteri, kerjaya politik Khairy akan berakhir. Itu pandangan saya mengenai kerusi Sungai Buloh,” kata Rafizi.

Khairy adalah antara yang mencabar jawatan presiden Umno pada pemilihan parti 2018, menentang Zahid bersama veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Dia akhirnya menduduki tangga kedua dalam saingan itu dan tewas kepada Zahid.

Selepas gagal dalam perebutan jawatan presiden, Khairy gagal dilantik bagi sebarang jawatan kepimpinan parti kecuali sebagai timbalan ketua bahagian Rembau.

Penyandang kerusi Parlimen Rembau itu juga diminta memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusinya pada pilihan raya kali ini.

Justeru, Khairy akhirnya dihantar menjadi calon Umno/BN di Sungai Buloh yang adalah kubu PH sejak beberapa penggal lalu.

PKR juga tidak mengekalkan penyandangnya Sungai Buloh R Sivarasa, dan menggantikannya dengan Timbalan Ketua Penerangan PKR, R Ramanan.

Rafizi berkata jika dia mempunyai pilihan tentang siapa yang mahu dihadapi dalam Umno pada masa hadapan, dirinya memilih Khairy.

Menurutnya, Khairy satu-satunya pemimpin dalam Umno/BN yang masih berminat dengan dasar dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka, tanpa menggunakan serangan perkauman atau agama.

“Saya mahu politik masa depan memberi tumpuan kepada kecekapan dan dasar dan bukan mengenai identiti kaum dan ketaksuban agama.

“Dari kalangan Umno / BN, yang nampak berminat dasar dan buat kerja, seorang saja, yang tidak menggunakan soal perkauman sejak 10 tahun lalu ini hanyalah Khairy.

“Jadi saya rasa jika saya berdepan dengan lawan Umno pada masa hadapan, demi negara, saya lebih suka berdepan dengan Khairy, bukan kerana dia kawan baik saya tetapi negara perlukan itu.

"Umno perlu diketengahkan supaya kita tidak terjebak dalam ketaksuban agama dan kaum ini dari generasi ke generasi," kata Rafizi.

Sambil mengucapkan semoga berjaya kepada Khairy kerana cuba mereformasikan Umno, timbalan presiden PKR itu berkata dia tidak begitu yakin ia akan berlaku.

Selain Khairy sebagai orang buangan dalam Umno, Rafizi mendakwa Umno kini jauh menyimpang ke kanan, sehingga semua yang mereka lakukan adalah mengenai ketaksuban kaum dan agama.

“Jadi kalau Khairy nak cuba reform Umno dari dalam, semoga berjaya. Tetapi saya harap jika dan apabila dia melakukannya, saya fikir ia baik untuk negara,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS