Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan hari in menyenaraikan empat sebab mengapa surat aku janji yang mendakwa bahawa calon Barisan Nasional (BN) pada PRU15 diminta menyokong Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamid sebagai perdana menteri adalah palsu.
“Pertama, letter head (kepala surat) Umno bukan BN, tetapi ini adalah pilihan raya umum jadi sepatutnya BN.
“Kedua, spacing (jarak) dan (penggunaan) huruf besar Barisan Nasional tidak konsisten dengan surat rasmi sebelum ini.
"Ketiga, sekalipun jika kerja jahat itu betul, mana mungkin terus tulis gugur kes mahkamah,” soalnya dalam sebuah video TikTok.
"Akhir sekali, saya sendiri sebagai calon Alor Gajah pun ada sign akujanji supaya tidak akan lompat parti, setia kepada parti dan berkhidmat kepada rakyat dengan penuh tanggungjawab. Saya tidak nampak sebarang syarat sepadan seperti dalam surat tular palsu itu," tambahnya.
Semalam, pengarah komunikasi BN Shamsul Anuar Nasarah menafikan kesahihan surat aku janji berkenaan yang kononnya mewajibkan calon Umno menyokong Zahid sebagai perdana menteri.
"Disahkan bahawa akujanji yang disebarkan dan sedang viral ini adalah palsu dan tidak benar.
"Tiada sebarang akujanji sebegini dilakukan.
"Perkara ini nyata suatu usaha jahat daripada pihak tidak bertanggungjawab dan jelas ia perancangan memburukkan Umno Barisan Nasional di ketika musim PRU15 ini," katanya pada satu kenyataan di Facebook media rasmi BN Comms.
Antara aku janji dalam dokumen palsu itu termasuk ikrar untuk menyokong Zahid sebagai perdana menteri, untuk menghentikan semua siasatan terhadap pemimpin parti dan menyokong pembentukan kerajaan dengan mana-mana parti lain.