Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua Muda Perak bertanding di Masjid Tanah, Melaka
Diterbitkan:  Nov 3, 2022 1:16 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Pengerusi Muda Perak Mutalib Uthman akhirnya mendapat kerusi Parlimen untuk ditandinginya dalam PRU15, selepas membuat kesilapan mengumumkan dirinya sebagai calon parti itu di Tapah, sebelum ini.

Bagaimanpun, kerusi tersebut bukan di negerinya. Hari ini, Muda mengumumkan Mutalib akan bertanding di kerusi Parlimen Masjid Tanah di Melaka.

Dia akan berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Mas Ermieyati Samsuddin yang telah memegang kerusi itu selama dua penggal dan Ketua Pemuda Umno Masjid Tanah, Abdul Hakim Wahab.

Dalam pengumuman hari ini, Muda menyifatkan Mutalib sebagai calon yang telah berusaha keras untuk meningkatkan mutu pendidikan untuk pelajar di Malaysia.

"Calon ini juga terlibat dalam pelbagai pengalaman berorganisasi yang bertujuan untuk memberi nafas baru dalam politik Malaysia," menurut parti itu.

Anak kelahiran Perak itu pernah menjadi CEO Perbadanan Kota Buku, iaitu syarikat berkaitan kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan.

Dia juga terlibat dalam penubuhan Platform Buku Teks Digital yang memberi akses percuma kepada pelajar.

Mutalib juga pengasas syarikat penerbitan buku tempatan, DuBook Press.

Selain itu, Muda turut menyenaraikan Mutalib sebagai antara pemimpin utama dalam jawatankuasa "Tamatkan Darurat" parti itu serta aktif dalam "Lapor Menteri" - inisiatif untuk melaporkan menteri yang melanggar prosedur operasi standard semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pada Ahad lalu, Mutalib dalam kenyataan mengumumkan dia akan menjadi calon Muda bagi kerusi Parlimen Tapah.

Bagaimanapun, kepimpinan Muda segera menafikan perkara itu dan menegaskan kerusi itu adalah milik PKR.

Mutalib kemudian mengeluarkan permohonan maaf atas perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS