Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pesan Annuar pada Marzuani, anakanda teruskan dan terimalah...
Diterbitkan:  Nov 3, 2022 1:05 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

PRU15 | Penyandang ahli parlimen Ketereh, Annuar Musa berkata dia menasihatkan anak didiknya, Marzuani Ardillah Ariffin supaya menerima pencalonan sebagai calon BN di Parlimen Ketereh.

Ini kerana katanya, Marzuani - yang disifatkan sebagai anaknya sendiri - berulangkali meminta pandangannya berhubung pencalonan tersebut.

"Pagi ini anakanda saya Marzuani Ardillah Ariffin, Ketua Puteri Ketereh tanya saya lagi..apa harus dia buat kerana hari ini hari mengisi borang pencalonan.

"Jawapan saya konsisten, teruskan seperti biasa.

"Beliau nak jumpa saya pagi ini, saya katakan, sempurnakan semua urusan dulu," kata Annuar dalam satu hantaran di Facebooknya.

Annuar adalah antara beberapa penyandang ahli parlimen Umno yang digugurkan sebagai calon bagi pilihan raya umum ke-15 kerana dilihat tidak sehaluan dengan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Susulan itu, Marzuani dinamakan oleh Ahmad Zahid sebagai calon di Ketereh pada majlis pengumuman calon BN baru-baru ini.

Kelmarin Marzuani mengaku dia sebenarnya berada dalam keadaan serba salah untuk menerima tawaran tersebut.

Ketua Puteri Umno Kelantan itu berkata, ini kerana Annuar yang merupakan Ketua Umno Ketereh adalah ketuanya di bahagian manakala Zahid Hamidi pula merupakan ketua partinya.

"Saya rasa sedikit tekanan kerana kita sedia maklum penyandang kerusi Parlimen Ketereh iaitu Tan Sri Annuar Musa merupakan ketua saya.

“Saya rasa serba salah untuk terima tawaran ini daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid kerana dia juga ketua parti,” katanya.

Jangan tutup bilik gerakan

Menurut Annuar, Marzuani sekali bertanya mengenai pendapatkanya sewaktu dipanggil ke majlis pengumuman calon BN di PWTC.

"Beliau minta keputusan saya.Jawapan saya sama juga.. Pergilah, dan terimalah. Alhamdulillah Ketereh tenang,” kata Annuar.

Malah kata Annuar, dia juga berpesan kepada petugas pilihan raya BN di Ketereh supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru dengan menutup bilik gerakan BN.

"Begitu juga pesan pada semua petugas Pilihan raya. Jangan gelabah, jangan tutup bilik gerakan, jangan cepat patah semangat, kita ikuti perkembangan dengan sabar dan tabah.

"Setiap perbuatan, mesti didahulukan dengan berfikir panjang.

“Kita ikuti perkembangan dengan tenang. Jangan lebarkan perpecahan, terutama kalangan rakan seperjuangan dan umat Islam.

"Ada kala kita di salahertikan, ada kala kita difitnah dengan fitnah yang memilukan. Namun, kekallah pada kebenaran dan kejujuran," luahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS