Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Ahmad Yakob memberitahu penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi tidak dicalonkan kerana gagal mendapat kelulusan daripada Majlis Syura Ulama PAS.
Portal Sinar Harian memetiknya berkata demikian semasa sidang akhbar selepas mengisytiharkan calon PRU15 PN Kelantan di Kota Bharu, malam semalam. Tiada maklumat lanjut berhubung keputusan Majlis Syura Ulama PAS itu
Terdahulu, media tempatan melaporkan desas-desus Che Abdullah bakal digugurkan daripada menjadi calon bagi mempertahankan parlimen tumpat yang dimenanginya.
Malaysiakini sebelum ini memetik sumber dalaman Umno melaporkan Che Abdullah akan menjadi calon yang 'disimpan' BN untuk dipertaruhkan susulan parti itu belum mengumumkan wakil mereka untuk bertanding di kerusi tersebut.
PAS menamakan Adun Demit, Mumtaz Md Nawi akan bertanding di kerusi Parlimen Tumpat.
Pada PRU14 lalu, Che Abdullah menang dengan majoriti 17,500 sekali gus menewaskan calon BN dan PKR.
Dia memperoleh undian sebanyak 47,041 undi, BN (29,541) dan PKR (10,003).
Legasi Nik Aziz
Sinar Harian juga memetik Ahmad Yakob sebagai berkata penyandang kerusi Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula sukarela memberi laluan kepada calon muka baru.
"Tiada alasan, mungkin masa depan masih luas dan masa lebih panjang untuk melanjut pelajaran dan sebagainya," katanya.
Kerusi anak bekas mrsyidul am PAS itu akan diberikan kepada setiausaha politik kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang iaitu Mohd Syahir Che Sulaiman.
Pada PRU14, Nik Abduh menang di Bachok dengan 3, 292 undi mengalahkan calon Umno, Awang Adek Husin dan wakil Bersatu.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tidak timbul isu parti itu mahu menamatkan legasi bekas Nik Aziz dengan tiada lagi pewaris mursyidul am itu pada PRU15 kali ini.
"Tak timbul soal itu (mematikan legasi tok guru) saya sendiri anak saudara tok guru (Nik Abdul Aziz), Zawawi (calon Pasir Puteh) pun anak saudara tok guru, legasi perjuangan bukan individu tetapi dasar perjuangan.
"Siapa bawa dasar perjuangan dia bawa legasi tok guru, bukan tokoh atau individu," katanya yang dipetik oleh Astro Awani.
Menurut Tuan Ibrahim, setiap calon bertanding membawa dasar Islam dan perjuangan membangun bersama Islam seperti yang ditinggalkan Nik Aziz.