Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mokhtar tunggu Khairuddin 'rebah terguling' sebelum nak dekati
Diterbitkan:  Nov 2, 2022 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Seorang tokoh ulama PAS membidas bekas pemimpin parti itu yang giat mengajak orang ramai agar memberikan undi kepada Umno-BN pada PRU akan datang.

Anggota Jawatankuasa Ulama PAS Pusat, Mokhtar Senik, untuk menghalang Pakatan Harapan (PH) daripada berkuasa semula, dia akan memberikan undinya kepada Perikatan Nasional (PN).

"[...] Bukan dengan cara saya mengundi BN, kerana kalau saya mengundi BN bermakna saya menghalang PAS-PN berkuaa," katanya dalam hantaran di media sosial malam tadi.

Tanpa menyebut sebarang nama, Mokhtar yang juga bekas calon PAS untuk kerusi parlimen Padang Besar dipercayai menujukan kenyataan tersebut kepada bekas setiausaha majli syura ulama parti itu, Mohd Khairuddin Aman Razali.

Mohd Khairuddin adalah antara pemimpin PAS yang garang menyerang PH sebelum ini. Dia dilantik menjadi menteri selepas kerajaan PH dijatuhkan dalam Langkah Sheraton.

Bagaimanapun apabila perdana menteri bertukar - daripada Muhyiddin Yassin kepada Ismail Sabri Yaakob - namanya digugurkan daripada kabinet.

Khairuddin Aman Razali

Dia kemudian mengumumkan keluar dari PAS, dipercayai ada kaitan dengan sikap parti itu yang memilih untuk terus istiqamah bersama Bersatu dan PN sedangkan dia cenderung untuk kekal dengan Umno.

Pada 30 Okt lalu Khairuddin - yang berucap di majlis Umno Kuala Nerus - Khairuddin secara terbuka meminta ahli-ahli PAS agar mengundi BN untuk menghalang kemenangan PH.

Khairuddin merupakan penyandang kerusi parlimen di situ.

Turut hadir Adun Seberang Takir yang juga bekas menteri besar Terengganu dari Umno, Ahmad Razif Abd Rahman.

Katanya gesaan itu dibuat kerana PN tidak mempunyai ahli yang ramai.

Bagaimanapun reaksi diberikan Mokhtar terhadap komen salah seorang pembaca hantaran media sosialnya lebih menarik.

Seorang daripada pembaca status itu asalnya meminta Mokhtar agar menasihati Khairuddin yang dianggapnya "nampak berat benar dah."

Mokhtar kemudian menjawab: "Tak makan nasihat dah. Tunggu rebah terguling baru kita gi dekat."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS