Kekalahan pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih pada tiga tahun lalu tidak mematahkan semangat aktivis sosial Uncle Kentang untuk menawarkan diri bertanding di kerusi parlimen Puchong pada pilihan raya umum ke-15.
Pemilik nama Kuan Chee Heng itu berkata dia akan bertanding sebagai calon bebas.
“Kamu nak cari calon yang susah kamu mahu mohon bantuan atau kamu mahu calon yang senang dijumpai dan senang dibawa bincang?
“Maka itu, saya merayu biarlah kali ini, kita menjadikan Puchong sebagai mercu untuk ini kalilah buat pertama kali, suara rakyat dibawa ke parlimen.
“Suara yang betul-betul boleh mewakili rakyat, anda dan anak-anak anda serta keluarga anda. Jangan lepaskan peluang ini,” katanya pada hantaran di Facebook hari ini.
Kuan berkata dia memerlukan ramai petugas sukarelawan semasa hari pencalonan di Dewan Puchong Indah, Selangor pada 5 November ini.
Parlimen Puchong merupakan kawasan kuat DAP yang ditandingi oleh Gobind SIngh Deo sejak tiga penggal yang lalu pada 2008.
Bagaimanapun, DAP meletakkan penyandang kerusi parlimen Bakri - Yeo Bee Yin di Puchong. Manakala Gobind di kerusi parlimen Damansara menggantikan penyandangnya Tony Pua yang menyatakan enggan bertanding pada PRU15.
Menurut Uncle Kentang, pengundi perlu memberikan undi kepada calon tempatan, yang lebih memahami masalah penduduk setempat dan mudah untuk didekati ketika perlu.
“Biar rakyat Puchong mendapat suara yang sebenarnya. Bukan ahli politik, tetapi seorang rakyat yang biasa-biasa,” katanya.
“Orang Puchong mempunyai pilihan alternatif. Satu suara yang boleh betul betul mewakili kamu semua. Orang tempatan, mudah untuk berjumpa di mana-mana di Puchong, mesra, senang mendapat bantuan - nak sign borang, pejabat dekat Puchong Utama sahaja,” katanya.
Untuk rekod, Uncle Kentang merupakan penerima Anugerah Komanwel Points of Light dan menjadi rakyat Malaysia keempat menerima penghargaan itu sejak dimulakan pada 2018.
Anugerah itu diberikan Ratu England Ratu Elizabeth II selaku Ketua Komanwel, kepada sukarelawan daripada 54 negara Komanwel sebagai pengiktirafan terhadap kerja-kerja sukarelawan.