Barisan Nasional (BN) Pahang menampilkan lebih 60 peratus daripada 42 jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dengan muka baru melibatkan 25 calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), suatu langkah yang disifatkan ke arah percambahan idea segar dan baru.
Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata BN Pahang juga mengemukakan 30 peratus calon muda berusia di bawah usia 45 tahun, iaitu 15 calon DUN manakala dua bertanding di Parlimen, selain lapan wanita diberikan kepercayan bertanding atas tiket BN pada pilihan raya kali ini.
Pembahagian kerusi antara parti komponen BN Pahang, juga menurut Wan Rosdy berlangsung tanpa pergeseran atau masalah besar, yang menyaksikan calon yang dipilih adalah mewakili semua pihak berdasarkan persetujuan dan persefahaman atas semangat dan muafakat parti.
"Saya yakin ini adalah pasukan terbaik yang berupaya membawa kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan untuk Pahang. Saya menyeru sokongan dan doa semua pihak serta berilah peluang dan sokongan tidak berbelah bahagi (kepada calon BN).
"Janganlah ada yang terasa hati, membawa diri atau memboikot usaha kita sehingga kita menjadi gunting dalam lipatan yang bukan budaya kita di Pahang," katanya semasa berucap pada Majlis Pengumuman Calon BN Pahang di Kuantan hari ini.
Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah diumumkan sebagai calon untuk bertanding mempertahakan kerusi Parlimen Bera yang disandangnya sejak 2004.
Pada pengumuman hari ini, Wan Rosdy bagaimanapun tidak menyebut nama calon bagi DUN Cheka dan DUN Sabai, dan ketika ditanya mengenai perkara itu, beliau hanya menjawab ringkas : "KIV (simpan dalam perhatian)".
Secara keseluruhannya, setakat ini bagi DUN Pahang, Umno sah bertanding di 34 kerusi manakala enam oleh MCA.
Pengumuman calon itu dibuat tiga hari sebelum hari penamaan calon yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu ini, yang akan disusuli hari pengundian awal pada 15 Nov sebelum hari pengundian pada 19 Nov ini.
Pada PRU14, BN menang 25 daripada 42 kerusi DUN Pahang manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh sembilan dan bakinya dimenangi PAS.
Bagi kerusi Parlimen, BN menang sembilan kerusi manakala PH yang menang lima akhirnya hanya tinggal empat kerusi, selepas Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang bertanding atas tiket PKR menyertai Bersatu pada 2020.
Wan Rosdy dalam pada itu mengingatkan bahawa PRU15 adalah pilihan raya yang sangat penting kerana ia adalah permulaan untuk meletak semula negara ke landasan yang betul, selain bertujuan mengembalikan mandat dan kepercayan kepada rakyat.
"Kita tidak mahu lima tahun akan datang menjadi satu lagi episod sandiwara dan drama politik musim kedua. Rakyat sudah penat dan negara pun sudah jauh ketinggalan," katanya.
Wan Rosdy juga turut memberi peringatan kepada calon yang terpilih untuk menggalas perjuangan parti pada PRU15, untuk memberikan yang terbaik serta membuktikan kemampuan untuk berkhidmat degan cemerlang kerana mereka yang memilih jalan politik perlu memberikan yang terbaik kepada masyarakat.
- Bernama
Berikut adalah senarai calon Barisan Nasional yang akan bertanding di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15):
Parlimen
P078 Cameron Highlands - Datuk Ramli Mohd Noor
P079 Lipis - Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
P080 Raub - Datuk Chong Sin Woon
P081 Jerantut - Datuk Mohd Zulkarmi Abu Bakar
P082 Indera Mahkota - Datuk Quek Tai Seong
P083 Kuantan - Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar
P084 Paya Besar - Datuk Mohd Shahar Abdullah
P085 Pekan - Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali
P086 Maran - Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin
P087 Kuala Krau - Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said
P088 Temerloh - Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin
P089 Bentong - Tan Sri Liow Tiong Lai
P090 Bera - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
P091 Rompin - Datuk Seri Hasan Arifin
DUN Pahang
N01 Tanah Rata - Wong Yap Wah
N02 Jelai - Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
N03 Padang Tengku - Datuk Mustapa Long
N04 Cheka - (belum diumumkan)
N05 Benta - Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak
N06 Batu Talam - Datuk Abd Aziz Mat Kiram
N07 Tras - Lim Teck Hoe
N08 Dong - Fadzli Mohamad Kamal
N09 Tahan - Faezah Ishak
N10 Damak - Muhamad Fasal Jamlus
N11 Pulau Tawar - Datuk Nazri Ngah
N12 Beserah - Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid
N13 Semambu - Khairul Hisham Omar
N14 Teruntum - Tee Choon Ser
N15 Tanjung Lumpur - Nara@Nikman Nordin
N16 Inderapura - Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif
N17 Sungai Lembing - Datuk Umar Arbain Dollah
N18 Lepar - Datuk Abd Rahim Muda
N19 Panching - Fauziah Abd Wahab
N20 Pulau Manis - Datuk Khairuddin Mahmud
N21 Peramu Jaya - Datuk Mohammad Nizar Mohamad Najib
N22 Bebar - Datuk Mohammad Fakharuddin Mohd Ariff
N23 Chini - Mohd Sharim Md Zain
N24 Luit - Jamaluddin Md Marzuki
N25 Kuala Sentul - Mohd Khairuddin Mohd Ali Hanafiah
N26 Chenor - Saiful Anuar Mokhtar
N27 Jenderak - Datuk Rodzuan Zaaba
N28 Kerdau - Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad
N29 Jengka - Nor Hasmimi Abdul Ghani
N30 Mentakab - Wong Tze Shiang
N31 Lanchang - Datuk Razmi Sudin
N32 Kuala Semantan - Datuk Nor Azmi Mat Ludin
N33 Bilut - Wong Siew Mun
N34 Ketari - Datuk Amizar Abu Adam
N35 Sabai - (belum diumumkan)
N36 Pelangai - Datuk Seri Johari Harun
N37 Guai - Datuk Sabariah Saidin
N38 Triang - Yee Cheng Hwa
N39 Kemayan - Khaizulnizam Mohamad Zuldin
N40 Bukit Ibam - Datin Samsiah Arshad
N41 Muadzam Shah - Razali Kassim
N42 Tioman - Datuk Seri Mohd Johari Hussain