PRU15 | MIC mengadakan mesyuarat tergempar pagi ini, dipercayai berhubung peruntukan kerusi bagi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Semalam dilaporkan MIC sedang mempertimbangkan untuk tidak meletakkan calon pada PRU kali ini berikutan rasa tidak puas hati dengan agihan kerusi.
Mesyuarat tersebut bermula sekitar jam 11 pagi di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur hari ini.
“Ia adalah urusan keluarga… Setiap kali parti politik mempunyai isu jadi kami cuma selesaikannya dalam mesyuarat,” kata Presiden MIC, SA Vigneswaran kepada pemberita ketika tiba di ibu pejabat parti untuk mesyuarat tersebut pagi ini.
Ketika ditanya apakah urusan keluarga yang dimaksudkan adalah berkaitan dengan BN, dia menafikannya.
Wakil MIC juga tidak hadir dalam majlis pengumuman calon BN malam tadi.
Vigneswaran hari ini juga mengulangi alasan yang diberikan Presiden BN Ahmad Zahid Hamidi mengenai ketidakhadiran MIC malam tadi, dengan mengatakan dia ada mesyuarat untuk dihadiri hari ini.
Pada majlis pengumuman calon BN malam tadi, "rakan" gabungan itu diberikan kerusi untuk ditandingi pada PRU15.
PRU kali ini menyaksikan penampilan sulung Makkal Sakti, Barisan Progresif India (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang akan bertanding di bawah lambang BN.
Dipercayai penyertaan "rakan-rakan" BN tersebut dalam pililhan raya menimbulkan kemarahan MIC, yang dikatakan kecewa kerana sebelum ini turut terpaksa menyerahkan kerusi mereka kepada Umno.
Umno mengambil kerusi parlimen Sungai Buloh dan Kapar daripada MIC sebagai pertukaran untuk kerusi Kuala Langat.
Umno juga mengekalkan kerusi Cameron Highlands yang dahulunya ditandingi secara tradisi oleh MIC sehingga pilihan raya kecil 2019 yang dimenangi calon BN, Ramli Md Nor.
MIC juga diberikan kerusi Padang Serai yang diambil daripada MCA.