Paling Popular
Terkini

PRU15 | Pendakwah terkenal Mohd Kazim Elias yang dinamakan sebagai calon BN di kerusi parlimen Larut malam tadi, menarik diri daripada bertanding di kerusi berkenaan.

Pengerusi BN Perak, Saarani Mohamad memaklumkan perkara itu ketika mengumumkan barisan calon bagi kerusi DUN di Hotel Casuarina Meru, Ipoh hari ini.

Menurutnya, Mohd Kazim digantikan Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.

“Mohd Shafiq menggantikan Mohd Kazim yang membuat keputusan menarik diri,” katanya.

Malam tadi, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Kazim akan bertanding di Larut bagi mewakili gabungan itu.

Mohd Shafiq dijangka berdepan penyandang Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang memenangi kerusi itu pada 2018 melalui tiket BN.

BN Perak akan mempertaruhkan seramai 59 calon bagi semua kerusi DUN pada PRU15.

Bercakap pada sidang akhbar, Saarani berkata Kazim yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim memaklumkan menarik diri pada pukul 1 pagi semalam.

"Saya tidak tahu apa sebabnya, kamu perlu tanya kepadanya," katanya.

Difahamkan, pendakwah terkenal itu membuat keputusan itu disebabkan masalah peribadi - selepas abangnya Najmuddin Elias dinamakan sebagai calon di DUN Batu Kurau di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod, BN sebelum ini mengumumkan gabungan itu akan bertanding di semua 59 kerusi DUN.

Bagaimanapun, Saarani hanya menamakan calon di 55 daripada 59 kerusi.

Menurutnya pengumuman baki kerusi akan dibuat selepas MIC selesai bermesyuarat di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Shafiq mengakui terkejut dipilih menggantikan Kazim kerana sebelum ini dimaklumkan akan bertanding di DUN Kubu Gajah.

Mengakui bahawa dia merupakan calon 'underdog', jurutera petroleum berusia 37 tahun itu berkata dia bersedia untuk berdepan dengan sesiapa sahaja pencabarnya di kerusi berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS