PN mengumumkan kerusi yang akan ditandingi pemimpin utamanya pada pilihan raya umum ke-15 malam ini.
Pengumuman itu menyaksikan Mohamed Azmin Ali akan mempertahankan kerusi Gombak dan ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan akan bertanding di Tasik Gelugor.
Selanjutnya, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin akan mempertahankan Larut, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Mansor Othman pula bertanding di Nibong Tebal, manakala Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu di Tambun, Perak.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu akan bertanding di 169 kerusi parlimen serta 116 kerusi DUN di Pahang, Perak dan Perlis.
Katanya, 169 kerusi itu akan menyaksikan Bersatu bertanding di 74 kerusi, PAS di 64 kerusi, Gerakan di 20 dan parti bersekutu lain akan mengambil 11 kerusi.
“Jumlah 169 itu termasuk Kelantan dan Terengganu, tetapi akan diumumkan esok,” kata Muhyiddin.
Muhyiddin akan sekali lagi mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh. Begitu juga bekas timbalan speaker Dewan Rakyat Rashid Hasanon akan bertanding di kerusi Batu Pahat.
Mas Ermieyati Samsudin dari Bersatu dinamakan sebagai calon gabungan itu bagi kerusi Masjid Tanah dan Saifuddin Abdullah mempertahankan kerusi Indera Mahkota.
Di tempat lain, Naib Presiden PAS Idris Ahmad akan bertanding di kerusi parlimen Bagan Serai.
Muhyiddin juga mengumumkan penyandang Titiwangsa Rina Harun akan bertanding di Sepang manakala Senator Mohd Radzi Jidin akan bertanding di Putrajaya.
Pengumuman itu dibuat di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia hari ini selepas Pakatan Harapan dan beberapa parti lain memaklumkan calon PRU15 mereka.