Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Melayu Islam jadi mangsa terima rasuah, kata Hadi
Diterbitkan:  Nov 1, 2022 5:56 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan lebih membawa banyak bahaya kepada Islam dengan pegawai-pegawai Melayu menjadi mangsa manakala tauke-tauke besar terlepas, kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Malah, katanya, kes-kes mahkamah melibatkan rasuah dan salah laku pemimpin, khususnya oleh pemimpin parti-parti komponen PH juga tidak diteruskan perbicaraan dengan urusan kehakiman mereka dibatalkan.

“Kita tak setuju dengan rasuah ini, tapi bicarakan semualah, jangan orang Umno saja. Apa lagi orang yang menyumbang rasuah dibebaskan, kerana yang bagi rasuah ini tauke-tauke yang besar ini, golongan yang kaya raya ini mendedahkan orang rasuah.

“Kerajaan tangkap orang yang rasuah kerana mereka bagi rasuah itu jadi saksi. Sepatutnya yang bagi rasuah itu dihukum, yang terima rasuah pun dihukum. Yang bagi rasuah ini lebih jahat (daripada) yang terima rasuah.

“Maka pegawai-pegawai Melayu Islamlah yang menjadi mangsa kerana mereka terima rasuah. Tauke-tauke yang besar terlepas,” katanya yang dipetik oleh portal Harakah semasa ceramah di Guar Sanji, Arau, malam semalam.

Menurutnya, di dalam PH terdapat golongan komunis, anti-Islam, LGBT yang memperjuangkan agenda barat seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) dan Statut Rom.

Sedangkan ini, kata Hadi tidak selari dengan agama dan budaya penduduk Melayu Islam di negara ini.

“Dalam PH ada semua. Dalam PH ada penyumbang rasuah dan penerima rasuah. Dalam BN ni masih ada baki yang terima rasuah.

“Penyumbang rasuah dah lari dah pergi kat PH. Kita mendapat maklumat masa PH memerintah, pegawai kerajaan sangat cemas.

“Keras mereka terhadap pegawai kerajaan, perangai-perangai komunis,” katanya dan seterusnya menjadikan DAP sebagai sasaran utamanya.

Sambil mempersendakan kenyataan DAP bahawa parti itu tidak menyokong komunis, dia mengimbas usaha untuk membawa pulang abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaysa (PKM) Chin Peng, yang meninggal dunia di Thailand pada 2013 pada usia 88 tahun.

“Dia kata dia tak sokong Komunis, cuma dia minta abu Chin Peng bawa pulang balik. Bawa pulang balik abu. Tak sokong komunis (kononnya).

“Dia sambut hari Revolusi Komunis menentang Jepun di Kajang. Ada sambutan memperingati perjuangan Parti Komunis Malaya. Ramai yang hadir,” katanya.

Pada September 2019, abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia dan ditaburkan di perairan negara berhampiran Lumut di Perak serta di hutan di banjaran Titiwangsa.

Ironinya, pada November 2020, kerajaan Perikatan Nasional yang dianggotai PAS mendedahkan bahawa individu yang bertanggungjawab membawa balik abu itu tidak akan didakwa.

Menurut menteri dalam negeri ketika itu Hamzah Zainudin, kes berkenaan telah diklasifikasikan sebagai "tiada tindakan lanjut" (NFA) kerana kekurangan bukti.

Berikutan kematian Chin Peng, Lim Kit Siang adalah antara pemimpin yang menggesa kerajaan membenarkan abu mayat itu dibawa pulang.

Empat tahun kemudian, veteran DAP itu terpaksa mengadakan sidang media untuk menolak dakwaan bahawa dia adalah sepupu pemimpin PKM itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS