Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nga jelaskan tiada niat singgung rakyat Singapura

Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata dia tidak berniat menyinggung perasaan rakyat Singapura dengan mendakwa rakyat negara itu akan berpusu-pusu datang ke Malaysia untuk bekerja jika Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

Dia mendakwa ucapannya minggu lalu telah dilaporkan di luar konteks dan musuh politiknya menggunakan ucapan tersebut untuk menyerangnya.

Semasa majlis makan malam bagi mengutip dana DAP Muar Khamis lalu, Nga, merujuk kepada pengerusi PH, Anwar Ibrahim, yang menggesa pengundi memilih perdana menteri yang mampu memulihkan ekonomi Malaysia.

“Jadi, kita kena tukar kerajaan. Kemudian, kita boleh minta rakyat Singapura datang ke Malaysia untuk bekerja, bukan sebaliknya,” katanya.

Nga menjelaskan semalam bahawa dia memaksudkan rakyat Singapura mungkin tertarik untuk bekerja di Malaysia jika kerajaan negara ini bebas daripada rasuah dan boleh menawarkan peluang pekerjaan yang lebih baik.

"Apa yang saya katakan, Malaysia dan Singapura berkongsi hubungan rapat, kedua-dua negara sepatutnya bekerjasama untuk mencapai situasi menang-menang,” jelasnya.

Nga menambah: “Malaysia diberkati dengan sumber asli, tetapi selama beberapa dekad ia telah terperangkap dalam politik perkauman, teokrasi dan rasuah.

“Ini menyebabkan lebih 400,000 rakyat Malaysia merentasi tambak Johor-Singapura setiap hari untuk bekerja di Singapura (disebabkan oleh kadar pertukaran mata wang yang lebih tinggi).

“Jika ekonomi Malaysia kukuh dan mata wang kita stabil, rakyat Malaysia tidak perlu bersusah payah bekerja di Singapura, malah kita boleh menawarkan pekerjaan yang lebih baik untuk menarik rakyat Singapura datang dan bekerja di sini,” katanya

Dia mengulangi bahawa "sama sekali tidak ada niat" untuk menyinggung perasaan rakyat Singapura dan menegaskan bahawa Malaysia dan Singapura berkongsi hubungan yang baik.

Katanya, kedua-dua negara harus bekerjasama dan membina perkongsian strategik untuk kesejahteraan rakyat di Asia Tenggara, khususnya bagi Malaysia dan Singapura.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS