Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN Kelantan: Dakwaan Annuar digugurkan hanya khabar angin

Dakwaan bahawa penyandang kerusi Parlimen Ketereh Annuar Musa tidak bertanding pada PRU15 hanyalah khabar angin, kata Pengerusi Badan Perhubungan BN Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub.

Ahmad Jazlan berkata dia telah menghantar senarai calon kerusi Parlimen di Kelantan termasuk Ketereh, dan segala keputusan mengenai calon yang bertanding akan diputuskan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

“Tugas saya sudah selesai dan selebihnya kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk tentukan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang menyatakan Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, tidak dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Ketereh pada PRU15.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera BN Kelantan yang dihadiri lebih 3,000 penyokong dan pimpinan bahagian negeri di Machang hari ini, Ahmad Jazlan berkata BN Kelantan berpotensi memenangi lebih daripada sembilan kerusi Parlimen, yang disasarkan pada PRU15.

“Saya pernah kata kita sasarkan sembilan kerusi, tapi mungkin boleh menang lebih daripada itu sebab sambutan daripada pengundi di negeri ini sangat memberangsangkan,” katanya.

Pada PRU14, BN Kelantan memenangi lima daripada 14 kerusi Parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS