mk-logo
Berita
GTA: Anwar lebih musuhi Mahathir berbanding Zahid
Diterbitkan:  Oct 31, 2022 4:00 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Gerakan Tanah Air (GTA) berasa pelik dengan kenyataan pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim yang sejak akhir-akhir ini sering menyerang Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Ketua Penerangan GTA Mahdzir Ibrahim (gambar, bawah) menyoal jika Anwar menganggap pengerusi Pejuang itu seterunya berbanding Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

Ini dakwanya kerana, Zahid yang juga presiden Umno langsung tidak mengkritik hasrat Anwar untuk bertanding di kerusi parlimen Tambun, Perak.

“Seolah-olah beliau (Zahid) mengalu-alukan kehadiran Anwar sebagai parti yang sealiran dengan Umno.

“Seperti PKR, Umno dilihat lebih mengasak PN dan Tun M melebihi serangan mereka kepada PH. Gambaran ini sudah tersebar di kalangan rakyat sejak berminggu-minggu.

“Baik Anwar atau Zahid, kedua-duanya tidak pernah secara tegas menyentuh atau menafikan cakap-cakap orang ramai itu,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Meskipun hari berkempen bagi pilihan raya umum ke-15 belum bermula, beberapa gabungan parti dan parti-parti politik sedang giat mengadakan majlis ceramah.

Anwar antara ahli politik yang aktif menyampaikan ceramahnya di beberapa kawasan sejak akhir-akhir ini sering menyentuh isu yang berkaitan dengan Mahathir atau sewaktu pentadbirannya ketika memimpin kerajaan PH.

Gambar fail, Anwar bertemu Mahathir.

Menurut Mahdzir, pengerusi PH dan PKR seperti lebih rela jika BN menang daripada Mahathir yang menang, dan seterusnya kembali menjadi perdana menteri sekali lagi.

Malah dakwanya, PKR enggan bekerjasama dengan Mahathir kerana bimbang sekiranya peluang presiden mereka untuk menjadi perdana menteri akan terlepas.

“Begitu juga dengan Zahid dan Umno, mereka lebih rela jika Anwar menjadi perdana menteri, yang mana ia tak akan merugikan BN berbanding membiarkan Tun Mahathir menang.

“Jika modus operandi ini berjaya, PH dan Umno boleh bergabung dan menjadi kerajaan pada 19 November ini.

“Jika Amanah enggan, mereka boleh disingkirkan daripada gabungan ini.

“Buktinya, kerusi DUN Changkat Jong dan kerusi parlimen Jerai diberikan kepada DAP,” dakwanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS