PANDUANKINI | Wang Kelian, pekan kecil yang tenang di sempadan Perlis-Thailand, menjadi tumpuan dunia pada Mei 2015 apabila 139 kubur dan 28 kem penjara pendatang asing ditemukan di kawasan bukit di situ.
Penemuan itu mendedahkan taktik penyeksaan dan kezaliman sindiket pemerdangangan orang yang mengambil kesempatan daripada perkembangan politik, sosial dan ekonomi di Bangladesh dan Myanmar, bagi mengaut keuntungan jutaan dolar hasil kegiatan penyeludupan manusia.
Mangsa korban yang ditanam di kubur-kubur itu dipercayai merupakan pendatang dari daerah Rakhine di Myanmar, yang mencari peluang lebih cerah di tanah asing ekoran penganiayaan, penindasan, penyeksaan dan keganasan terpilih di negara asal mereka.
Didesak kemiskinan, mereka lari dengan menaiki bot nelayan, merentasi jalan laut sejauh beribu kilometer, dan meredah hutan tebal untuk sampai ke Malaysia, dengan membayar sejumlah besar wang kepada sindiket yang menyeludup mereka masuk.
Di sebalik harapan untuk masuk mengikut laluan selamat, ramai daripada pendatang ini bahkan terkorban dan ditanam di kawasan bukit di Wang Kelian.
Penemuan mengejutkan itu mendorong penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Hasil siasatannya telah dinyahklasifikasi (diubah status rahsia) baru-baru ini.
Dalam laporan berkenaan, pengerusi RCI Ariffin Zakaria berkata insiden tersebut memaparkan sikap tidak berperikemanusiaan penyeludup manusia dan merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara. Berikut merupakan hasil siasatan suruhanjaya tersebut.
Bilakah RCI itu ditubuhkan dan apakah bidang tugasnya?
RCI itu ditubuhkan pada Mac 2019 untuk menyiasat, menjalankan inkues dan mengenal pasti punca di sebalik kewujudan kubur besar serta kem pendatang haram di Wang Kelian. Ia ditubuhkan hampir empat tahun selepas kubur-kubur itu ditemukan. Siasatan selesai pada Jun 2019, sebelum ia dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada bulan September tahun sama.
Selama lebih 17 hari dalam tempoh dua bulan, RCI itu menyoal 48 saksi, termasuk tokoh berprofil tinggi seperti ketua polis negara pada waktu itu, Khalid Abu Bakar dan ketua polis Perlis pada waktu itu Zul Aznam Haron.
Siapa ahli jawatankuasa RCI?
RCI itu diketuai bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria selaku pengerusi, dengan bekas ketua polis negara Norian Mai selaku timbalannya.
Ahli-ahli lain ialah bekas pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Razali Ismail dan bekas timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Tan Seng Giaw.
Bekas ketua pendakwa raya Noorbahri Baharuddin, bekas ketua bahagian penyelidikan Jabatan Peguam Negara Junaidah Abdul Rahman, dan bekas duta Malaysia ke Thailand Nazirah Hussin juga menjadi sebahagian daripada jawatankuasa itu.
Bilakah kubur pertama ditemukan?
Kubur pertama ditemukan pada 19 Januari 2015, kira-kira lima bulan sebelum isu itu dilaporkan media antarabangsa.
Polis menemukan satu kem pendatang dalam kawasan hutan semasa serbuan pada 18 Januari susulan maklumat diterima mereka.
Kata seorang pegawai polis kepada RCI, enam orang pendatang asing ditemukan terkurung di dalam struktur kayu, manakala yang lain pula berjaya meloloskan diri ke hutan.
Polis kembali ke tapak itu keesokan harinya bagi memusnahkan kem tersebut, namun berhenti apabila mereka menemukan kubur-kubur di situ.
RCI diberitahu, selepas menyoal pendatang yang diselamatkan, pasukan itu kembali lagi ke lokasi pada 6 Mac, lalu menemukan 34 mayat berbalut kafan di dalam 34 struktur menyerupai kubur.
RCI juga diberitahu, polis Padang Besar diarahkan oleh seorang “pegawai kanan” untuk tidak meneruskan siasatan dan untuk mengklasifikasikan kes tersebut sebagai “mati mengejut”.
Sehinggalah 25 Mei, barulah satu operasi bersepadu dan menyeluruh dijalankan Bukit Aman dan jasad-jasad itu digali.
Kenapa pendatang asing dikurung di kem Wang Kelian?
RCI itu menyoal 26 orang mangsa dalam insiden berkenaan. Keterangan mereka memberi penjelasan tentang kewujudan kem tersebut dan mengapa begitu ramai yang terkorban.
Pendatang-pendatang asing tersebut dibawa ke kem berkenaan oleh penyeludup dalam perjalanan merentas sempadan. Mereka ditahan di situ oleh penyeludup yang memeras wang daripada mereka.
“Ejen akan memukul kami jika kami tidak memberi duit. Saya turut dipukul kerana saya pergi buang air tanpa meminta kebenaran. Saya juga dipukul kerana tidak dapat menghubungi keluarga saya untuk meminta wang daripada mereka,” kata Saksi 31 kepada mahkamah.
Seorang lagi saksi berkata kem berkenaan dikawal oleh enam warga Myanmar, yang bertindak sebagai penterjemah antara pendatang dengan pengawal Thailand yang membawa pistol.
“Kami tak boleh keluar dari kem kerana terdapat orang yang sama mengambil giliran (untuk berkawal).
“Tetapi mereka bukanlah orang yang sama mendaki bukit bersama kami. Terdapat 20-30 warga Thailand yang mengawal kami di kem …” kata Saksi 5.
Mengapa ramai yang mati?
Keterangan daripada mangsa yang terselamat dari kem tersebut mendedahkan tentang keadaan teruk yang mereka tempuhi di sepanjang perjalanan dari Myanmar, yang membawa kepada jatuh sakit dan kebuluran. Ini selain kekejaman yang harus mereka hadapi dari penyeludup.
Seorang saksi, dikenali sebagai Mangsa 1, memberi keterangan bahawa rakannya dipukul hingga mati selepas keluarganya enggan melayan panggilan telefon ejen yang menuntut wang tebusan.
Rakannya itu ditanam di salah satu dari kubur-kubur besar berkenaan. Salah seorang penyeludup melakukan upcara pengebumian Islam.
Mangsa 1, yang berusia 14 tahun pada waktu itu, memulakan perjalanan dari Myanmar pada Ogos 2014, kira-kira sembilan bulan sebelum kem penjara dan kubur di Wang Kelian ditemukan.
Katanya, dia menyaksikan kira-kira 60 kematian sepanjang sebulan perjalanan yang penuh bahaya dari Myanmar ke Thailand mengikut jalan laut. Dalam perjalanan itu, katanya, kira-kira 750 pendatang bersesak-sesak di dalam sebuah kapal dalam keadaan dan kebersihan yang teruk serta makanan yang terhad. Mayat yang terkorban dibuang ke dalam laut.
Turut berada dalam perjalanan itu termasuklah wanita, kanak-kanak dan bayi. Sebahagian wanita bahkan dirogol, tambahnya.
Apabila tiba di Balok, Thailand, mereka diberitahu yang mereka berhutang kira-kira RM7,000 seorang dengan penyeludup, dan diarah mendaki bukit untuk ke sebuah kem yang dikelilingi kawat duri.
Di situ, kira-kira 1,000 pendatang dipantau oleh pengawal yang bersenjatakan senapang patah, katanya.
Selepas tiga hari, mereka dipindahkan ke kem lain dalam kumpulan-kumpulan lebih kecil, kira-kira 40 orang sekumpulan. Perjalanan itu mengambil masa lapan jam berjalan kaki.
Di kem-kem tersebut, mereka dipukul, dirogol atau disebat sekiranya ahli keluarga mereka tidak membayar wang tebusan.
Menurut pihak berkuasa pada 2015, bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat yang digali dari kubur tidak dapat mengenal pasti punca kematian memandangkan jasad sudah terlalu reput.
Bagaimanapun, bedah siasat yang dijalankan seorang pakar patologi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar itu mendapati kebanyakan korban mengalami kebuluran.
Hal ini diumumkan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir semasa pengebumian semula di Kampung Tualang di Pokok Sena pada Ogos 2015.
Adakah warga Malaysia turut terlibat?
Berdasarkan keterangan, penyeludup terdiri daripada warga Rohingya, Myanmar, Thailand atau Bangladesh. RCI dimaklumkan, mereka sama ada menjadi pengawal di kem ataupun ejen yang membawa pendatang asing ke kem itu.
Penglibatan warga Malaysia pula hanya sebagai tekong selepas pendatang asing tersebut menyeberang sempadan untuk ke dibawa satu destinasi yang ditetapkan dalam Malaysia.
Seorang pegawai polis bersara, DSP T Sivaganam, memberitahu RCI yang dia menerima maklumat pada 20 Jan bahawa penduduk kampung turut membantu sindiket dalam menyeludup pendatang asing.
Warga asing yang tinggal di Malaysia turut memainkan peranan serupa. Mereka membuat aturan perjalanan dan mencari pekerjaan untuk pendatang-pendatang itu.
Adakah terdapat rasuah dalam kes itu?
Tidak. RCI tidak menemukan bukti rasuah atau penyalahgunaan kuasa dalam kalangan anggota penguatkuasa dan pegawai awam Malaysia.
Pun begitu, seramai 12 anggota polis pernah ditahan pada 2015, tidak lama selepas penemuan kubur-kubur besar itu, dua daripadanya disyaki terlibat menyeludup pendatang.
Semasa RCI pula, seorang inspektor polis turut memberi keterangan bahawa dia diarahkan untuk membuat satu laporan polis palsu mengenai lima pendatang asing yang ditahan di Wang Kelian pada Mac, dua bulan sebelum penemuan kubur-kubur besar itu mendapat liputan meluas.
Inspektor itu memberi keterangan bahawa kira-kira 10 individu dipercayai dari Cawangan Khas datang kepadanya menghantar pendatang-pendatang berkenaan – yang diikat tangan mereka dengan pengikat kabel.
Dia kemudiannya diarahkan oleh pegawai atasannya untuk membuat satu laporan yang menyatakan bahawa dia sendiri yang menahan pendatang tersebut.
Seorang lagi pegawai polis yang mengetuai pasukan untuk meninjau dan kemudiannya memusnahkan kem pemerdagangan orang di hutan berdekatan sempadan Malaysia-Thailand itu pada Januari, turut memberi keterangan bahawa pegawai atasannya mengarahkannya untuk memadamkan gambar-gambar operasi berkenaan.
Jika bukan kerana korupsi, bagaimana kegiatan penyeludupan boleh terus berlaku?
Dalam laporan itu, pengerusi RCI Ariffin mempersoalkan bagaimana kegiatan penyeludupan seperti itu boleh berlaku tanpa dikesan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab menjaga sempadan.
Lawatan suruhanjaya itu ke sempadan di Bukit Wang Burma dan Genting Perah di Wang Kelian dan Sungai Golok dan Pengkalan Kubur di Kelantan mendapati terdapatnya kelemahan dalam keselamatan sempadan.
Ia mendapati bilangan petugas yang ditempatkan di sempadan-sempadan berkenaan adalah tidak mencukupi selain kekurangan kelengkapan seperti kenderaan untuk membuat rondaan di kawasan tersebut.
Ia turut mendapati pagar dan tembok tidak dibina secara menyeluruh, menyebabkan kawasan sempadan itu mudah dicerobohi.
Aset-aset sedia ada pula tidak diselenggara dengan baik. Selain itu, didapati tiada rekod yang menunjukkan agensi-agensi ada berkomunikasi dengan pihak berkuasa Thailand berhubung perkara tersebut.
Lapor suruhanjaya itu, agensi penguatkuasaan gagal membangkitkan amaran apabila ia sedar tentang kebanjiran pendatang asing tanpa dokumen sejak 2012, sehinggalah penemuan kubur-kubur itu pada Mei 2015.
Ia juga mendapati, tiada satu badan bersepadu bagi menguruskan keselamatan sempadan. Hal itu menyebabkan pelbagai agensi keselamatan bekerja secara berasingan dan sendiri-sendiri (in silos).
Apakah ada sesiapa yang didakwa di Malaysia berhubung insiden itu?
Pada Mei 2016, empat warga asing didakwa di Mahkamah Majistret Kangar kerana menyeludup pendatang asing di Wang Kelian.
Mereka merupakan lelaki warga Myanmar, Bangladesh dan Thailand, berusia antara 18 hingga 46 tahun. Mereka semua didapati bersalah dan sedang menjalani hukuman penjara.
Pada April tahun ini, seorang lagi warga Thailand yang mempunyai kaitan dengan insiden Wang Kelian didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar. Kes itu masih belum selesai.
Adakah RCI mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab atas kematian mayat-mayat ditemukan?
Tidak. Sehingga ke hari ini, tidak ada mana-mana pihak di Malaysia didakwa atas kesalahan menyebabkan kematian.
RCI turut mendapati tiada bukti yang boleh membawa kepada penahanan mana-mana warga Malaysia.
Apa tindakan yang diambil di Thailand?
Pasukan keselamatan Thailand menemukan satu kubur besar dan kem penjara pendatang asing pada 1 Mei 2015, ketika mereka menyelamatkan seorang mangsa berdekatan Padang Besar di daerah Sadao, Thailand. Lokasi itu bertempat 300 meter dari sempadan Malaysia-Thailand.
Pada mulanya, mereka menemukan 32 mayat. Seminggu kemudian, mereka menemukan lagi 36 mayat di kubur-kubur lain berdekatan situ.
Minggu yang sama juga, Perdana Menteri Thailand ketika itu Prayuth Chan-ocha mengarahkan satu siasatan dijalankan dan agar pembersihan dilakukan di lokasi dalam tempoh 10 hari.
Ini menyebabkan polis segera memindahkan lebih 50 pegawai polis, kerana komander di kawasan setempat “tahu siapa yang terlibat dengan apa”.
Tidak seperti di Malaysia, di Thailand, kira-kira 62 individu termasuk pegawai kerajaan kanan telah disabitkan bersalah atas jenayah berkaitan kubur-kubur besar itu.
Mereka dijatuhkan hukuman penjara sehingga 94 tahun, termasuklah atas kesalahan menyeludup dan membunuh pelarian Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh, pada 2015.
Antara yang didapati bersalah termasuklah pegawai tentera kanan Pusat Arahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC), Manas Kongpa, yang dijatuhkan hukuman penjara 27 tahun manakala datuk bandar dan timbalan datuk bandar bagi bandar sempadan Padang Besar dijatuhkan hukuman penjara 78 tahun. Pentadbir Wilayah Satun pula dipenjara 75 tahun.
Susulan siasatan terhadap pemerdagangan orang melibatkan warga Rohingya dan Bangladesh, pihak berkuasa Thailand mengeluarkan 153 waran tangkap. Pun begitu, 50 individu yang dinamakan dalam waran tangkap itu masih tidak dibawa ke muka pengadilan.
Semasa perbicaraan dari Oktober 2015 hingga Februari 2017, lebih 200 orang saksi memberikan keterangan, dan 1,800 dokumen keterangan telah disemak.
Apa syor RCI?
Kebanyakan syor adalah berkaitan keselamatan sempadan. Antaranya, perlunya dasar kerajaan yang lebih padu dan bukan bersifat ad hoc berhubung pengurusan pendatang asing.
Satu lagi syor penting adalah untuk memperkasa Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) sebagai badan menyeluruh untuk menguruskan kawalan sempadan, seperti yang diamalkan di Kanada dan Australia.
Aksem ditubuhkan pada 2015, terdiri daripada 10,000 petugas tentera, polis, Pasukan Gerakan Am yang merupakan unit infrantri ringan polis, dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP).
Bagaimanapun, pada 2021 – dua tahun selepas RCI – Aksem dibubarkan dan kawalan sempadan diletakkan sepenuhnya di bawah bidang kuasa Pasukan Gerakan Am.
Ketika ia dibubarkan, Aksem memiliki 900 anggota termasuk yang dipinjamkan dari Jabatan Kastam dan Imigresen.
Sehingga 2019, ia telah menjalankan 2,400 rampasan dan tangkapan, dengan nilai rampasan RM145.52 juta.
Adakah penyeludupan manusia di sempadan Malaysia-Thailand sudah berjaya dibanteras?
Tidak. Pemeriksaan Malaysiakini mendapati aktiviti pemerdagangan orang telah berganjak kira-kira 64km dari Wang Kelian, di lokasi yang lebih dekat dengan sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
The GFO turut melaporkan pelbagai tangkapan membabitkan kegiatan pemerdagangan orang di situ dan di sempadan Thailand-Kelantan.
Baca berkaitan:
7 tahun lepas kubur Wang Kelian terdedah, penyeludupan orang terus wujud