Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Musuh PAS bukan Umno tapi PH - Takiyuddin
Diterbitkan:  Oct 31, 2022 10:24 AM
Dikemaskini: 2:30 AM

Musuh PAS bukan Umno tetapi Pakatan Harapan, tegas Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata PAS masih menganggap Umno sebagai kawan dan persahabatan mereka akan menyumbang ke arah menyatukan umat Islam.

Tambahnya, PH juga merupakan musuh kepada Umno.

“Kalau kawasan tertentu dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) kita tidak ada masalah asalkan bukan kepada PH.

Gambar fail, kerjasama MN pada PRK Tanjung Piai.

“Sebab itu kekal dengan penyatuan ummah. Penyatuan ummah ini tidak boleh bermusuh walaupun bukan kawan rapat,” katanya dipetik Utusan Malaysia ketika bercakap kepada pemberita di Kota Bharu semalam,

Hubungan PAS dengan Umno agak rumit sejak kebelakangan ini selepas parti Islam itu mengambil pendirian untuk terus kekal bersama Bersatu.

Sebelum ini, PAS berkata parti itu tetap bersama Bersatu yang telah mengisytiharkan Umno dan BN sebagai musuh utama mereka.

Mengulas lanjut, penyandang kerusi parlimen Kota Bharu itu berkata meskipun PAS bersama dengan Bersatu namun PAS tetap mengajak Umno untuk duduk bersama.

Katanya, ini kerana ketiga-tiga parti - Umno, PAS dan Bersatu - telah menunjukkan bahawa mereka mampu untuk bekerjasama.

“Bila berlaku pertukaran Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kepada Umno selepas ada rakan parti di dalam kumpulan kita yang menjatuhkan kepimpinan Muhyiddin.

"Namun sokongan terhadap perdana menteri dari Umno tetap diberikan termasuk (daripada) Muhyiddin,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS