Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ismail Sabri: Rakyat tak nak dengar janji potong gaji jika jadi PM

Janji dibuat pemimpin pembangkang untuk memotong gaji jika menang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bukan perkara yang hendak didengar rakyat.

Perdana menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat cuma ingin tahu apa yang kerajaan akan buat untuk menjaga kepentingan rakyat, terutamanya orang kampung.

"Kita jangan terkeliru, sekarang ini macam-macam orang menyebarkan janji, keluar manifesto macam-macam.

"Sekarang (ada) janji baru, PM (perdana menteri) tak payah ambil gaji, orang kampung bukan nak dengar ambil gaji tak ambil gaji, orang kampung nak dengar apa yang boleh kerajaan buat untuk kepentingan orang kampung.

"Kalau dia tak dapat gaji, orang kampung susah, harga getah turun (tapi) kerajaan tak buat apa-apa pun, yang orang kampung nak (dengar) perancangan kerajaan untuk menjamin kehidupan mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia di Bera, hari ini.

Ucapan itu dipercayai merujuk kepada janji dibuat Presiden PKR, Anwar Ibrahim ketika berucap dalam konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Ipoh, Perak pada 20 Oktober lalu.

Anwar yang juga pengerusi PH dilaporkan berkata dia sedia untuk dipotong gaji dan elaun sebagai perdana menteri jika diberikan mandat pada PRU15 ini.

Dia berkata perkara itu tindakan pertama yang akan dilakukan sebaik diumum sebagai perdana menteri ke-10.

"Saya beri jaminan di sini, kalau diizin Allah pada 20 hari bulan (November) saya dinobatkan sebagai Perdana Menteri, pertama saya lakukan adalah potong gaji dan elaun Perdana Menteri.

"Kerana kalau keadaan ekonomi seperti sekarang, saya tak sanggup ambil gaji perdana menteri.

"Rakyat hidup susah derita dengan upah yang rendah, kemudahan anak-anak tidak terkawal dan kesihatan tidak terurus," katanya.

Ismail dalam pada itu berkata kerajaan hari ini tidak pernah berjanji bulan dan bintang seperti orang lain.

"Kita membentangkan bajet terbesar dalam sejarah pada 7 Oktober lalu dan ia adalah untuk rakyat.

"Orang lain kalau ambil alih kerajaan ini, tak tahu bajet apa yang mereka akan bentang, tapi kalau BN (Barisan Nasional) terus diberikan mandat dan jika dengan izin Allah saya terus (kekal) menjadi perdana menteri, saya akan pastikan semua yang kita bentangkan dalam bajet itu akan dilaksanakan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS