Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Itu kerusi PH' - Muda tolak pengumuman pengerusi Perak tanding di Tapah
Diterbitkan:  Oct 30, 2022 3:34 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Muda menafikan parti itu akan meletakkan calon di kerusi Parlimen Tapah di Perak pada PRU15.

Perkara itu dinyatakan ketua penerangannya, Luqman Long susulan pengumuman Pengerusi Muda Perak Mutalib Uthman bahawa dia akan bertanding di kerusi parlimen itu.

Luqman menegaskan kerusi tersebut adalah milik PH dan pihaknya komited untuk mengelakkan sebarang pertembungan dengan gabungan itu.

"Berkenaan kerusi parlimen Tapah, Muda ingin menyatakan bahawa kerusi itu milik PH, bukan Muda.

"Komitmen Muda-PH juga adalah untuk mengelakkan sebaran pertindihan kerusi antara Muda-PH.

"Sebarang kenyataan yang bercanggah dengan komitmen Muda-PH ini adalah bukan kenyataan rasmi," katanya.

Luqman Long

Terdahulu hari ini, Mutalib dalam Facebook mengumumkan akan bertanding di kerusi parlimen itu, yang merupakan kubu kuat BN dan dipegang Timbalan Presiden MIC M Saravanan selama tiga penggal.

Sebelum ini Naib Presiden PKR K Saraswathy dijangka akan bertanding di kerusi itu.

"Merujuk kepada rundingan kerjasama politik di antara Parti Muda dan Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan semalam, Muda Perak ingin mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tapah.

"Keputusan ini dibuat susulan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi mengenai status kerusi Tapah dan Sg Siput (Perak) serta Sembrong (Johor) adalah untuk kerjasama politik dengan Muda dan PSM," katanya.

Namun, dalam reaksi serta-merta, seorang sumber PKR memberitahu Malaysiakini bahawa pengumuman Mutalib sebagai tidak tepat.

"Tidak betul. Belum ada keputusan rasmi berhubung kerusi parlimen Tapah," katanya.

Semakan mendapati Mutalib telah memadamkan hantaran Facebook berkenaan pencalonannya.

Sementara itu, Luqman berkata sebarang pengumuman rasmi berhubung pencalonan Muda di mana-mana pengerusi hanya akan dibuat pengarah pilihan raya, Amira Aisya Abdul Aziz.

Katanya, Amira akan mengumumkan beberapa lagi kerusi yang akan ditandingi Muda, termasuk di Sabah, esok dan kerusi parlimen Muar pada Rabu ini.

Kerusi Tapah merupakan kubu kuat BN yang dimenangi oleh pemimpin MIC M Saravanan selama tiga penggal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS