Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Gerakan Tanah Air (GTA) sudah mengenal pasti 17 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor untuk gabungan itu bertanding pada PRU15, kata Timbalan Pengerusi Penaja GTA Mukhriz Mahathir.

Mukhriz berkata kawasan terlibat adalah kawasan majoriti pengundi Melayu termasuk Parlimen Pagoh yang disandang Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

"Bagaimanapun senarai calon akan dimuktamadkan esok sebelum diumumkan secara rasmi pada 2 Nov ini. Tentunya kita serius dalam menawarkan calon, bukan masuk dalam pilihan raya untuk berseronok.

“Kita tahu kita berhadapan dengan saingan yang sangat sengit yang datangnya dari parti-parti yang sudah lama bertapak di negeri ini contohnya Umno," kata presiden Pejuang itu selepas merasmikan pelancaran Jentera PRU15 GTA Negeri Johor, di Batu Pahat, hari ini.

GTA yang dianggotai Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), sebelum ini dilaporkan berhasrat untuk bertanding di kira-kira 120 kerusi Parlimen pada PRU15.

Ketika diminta mengulas mengenai keengganan beberapa gabungan untuk bekerjasama dengan GTA pada pilihan raya kali ini, Mukhriz berkata ia mungkin disebabkan mereka sudah selesai mengagihkan kerusi dalam kalangan parti komponen mereka.

"Saya tidak pastilah apa sebabnya (enggan kerjasama). Agaknya mereka rasa di peringkat-peringkat akhir nak dekat pilihan raya, mungkin dah dipersetujui dalam kalangan mereka mengenai agihan kerusi.

"Jadi bila kita bincang berkenaan dengan kerjasama politik, bermakna ada kerusi yang terpaksa mereka korbankan untuk beri ruang kepada gabungan-gabungan lain, mungkin itulah sebabnya," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon (5 Nov) dan pengundian awal pada 15 Nov.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS