Presiden MCA Wee Ka Siong mengalu-alukan ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP Sheikh Umar Bagharib Ali bertanding menentangnya di kerusi parlimen Ayer Hitam pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
"Saya mengalu-alukan langkah itu. Sesiapa sahaja berhak bertanding di sini.
"Namun, saya terkilan kerana YB Liew Chin Tong, yang mencabar bertanding di sini, tidak akan dapat berbuat demikian," kata Wee yang juga menteri pengangkutan selepas menghadiri Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Ayer Hitam, awal hari ini.
Liew tewas di kerusi parlimen Ayer Hitam kepada Wee dengan majoriti tipis 303 undi pada PRU lalu.
Susulan kekalahan itu, Liew berkata dia akan memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan itu. Petisyen itu kemudiannya ditolak.
Mengimbau ikrar Liew untuk "bangkit di mana dia jatuh", Wee menyorot bahawa Adun Perling itu dinafikan peluang untuk berbuat demikian.
“Saya menunggu selama empat tahun (untuk menyahut cabaran), tetapi ia kini tiada apa-apa.
"Jadi, sesiapa yang datang (untuk mencabar saya), saya tidak boleh berhenti. Saya serahkan kepada rakyat (pengundi Ayer Hitam) untuk menentukan siapa yang bersama mereka selama ini," kata Wee.
Terpulang kepada pengundi
Wee terus membidas pembangkang kerana sentiasa menukar calon mereka.
“Kita (BN) tidak selalu tukar calon, itu beza kita dengan mereka (pembangkang).
"Ini bukan kali pertama. Pada 2004, mereka meletakkan calon Melayu (dari PAS), tetapi kemudian (2013), mereka meletakkan calon Cina di bawah tiket PAS (Dewan Himpunan Penyokong PAS Hu Pang Chow)," katanya.
Kini, tambahnya, pembangkang meletakkan calon Melayu daripada DAP untuk membantu meraih undi Melayu.
Ketika mengumumkan nama Sheikh Omar pada majlis makan malam mengumpul dana di Muar pada malam Khamis, Liew berkata langkah meletakkan bekas Adun Paloh itu boleh membawa kepada kemungkinan dan kejayaan baru dalam kalangan pengundi Melayu.
Mengulas lanjut, Wee berkata walaupun pembangkang mempunyai kaedah tersendiri untuk bertanding, BN juga mempunyai formula tersendiri untuk menang.
"Menang atau kalah, saya serahkan kepada pengundi. Anda mahu letak Sheikh Omar, atau seperti yang disebut sebelum ini Tony Pua atau yang berjanji untuk bertanding di sini atau yang 'lari', itu mungkin strategi DAP, untuk mengelakkan pertembungan dan sebagainya.
"Itulah cara pembangkang. Bagi saya, saya dengan rendah hati memohon sokongan dan restu daripada pengundi saya," katanya.