Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siapa saja boleh datang bertanding di Bera - Ismail Sabri

Perdana menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob sedia dicabar oleh sesiapa sahaja di kerusi parlimen Bera untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dia berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, sesiapa sahaja boleh bertanding di mana-mana kerusi yang mereka mahu.

“Kita terbuka, saya tidak pernah menang tanpa bertanding pun di Bera, bertanding itu perkara biasalah dalam negara demokrasi.

“Jadi, di mana-mana pun mereka boleh bertanding, tidak ada masalah,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri kenduri rakyat sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Pahang di Kuantan, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman calon oleh PKR malam tadi yang meletakkan calon daripada parti itu untuk bertanding di kerusi parlimen Bera.

Semalam, PKR mengumumkan bekas pengarah pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abas Awang akan mencabar Ismail.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa pemimpin parti pembangkang bertukar kerusi pada PRU kali ini, Ismail berkata, perkara itu berlaku mungkin disebabkan beberapa faktor.

“Semalam mereka (PKR) umumkan (calon), beberapa pertukaran berlaku di antaranya presiden (PKR) Anwar (Ibrahim) sendiri, dari PD (Port Dickson) berpindah ke Tambun (Perak), ramai yang berpindah randah, saya pun tak tahu kenapa mereka suka berpindah.

“Mungkin mereka tak yakin dengan ‘service’ atau perkhidmatan yang mereka berikan selama ini kepada pengundi menyebabkan mereka akan pergi ke tempat lain dan buat janji-janji yang baru supaya dapat mempengaruhi pengundi di tempat baru.

“Mereka tidak boleh membohongi pengundi yang sama, kalau mereka tak memberi perkhidmatan kepada pengundi mereka di situ, mereka tidak boleh janji lagi, rakyat takkan percaya,” katanya lagi.

Ismail turut memberitahu, dia bertanding di Bera sejak tahun 2004 dan masih setia di kerusi parlimen itu.

Katanya, dia mungkin boleh meminta untuk berpindah ke kerusi lain jika tidak memberikan perkhidmatan kepada pengundi di Bera.

“Kalau saya, mungkin saya boleh minta ke tempat lain yang lebih selamat, kalau saya tak ‘serve’ atau tak beri perkhidmatan kepada rakyat di Bera, saya (jadi) takut (bertanding) di tempat sama kerana janji saya takkan diterima, tapi saya ‘stay’ (kekal).

“Dan kalau tengok semua calon Umno, hampir semua kekal di tempat yang sama kerana kita selama ini telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi di kawasan itu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS