PRU15 | PKR menggugurkan lapan penyandang kerusi parlimen daripada senarai calonnya di Semenanjung Malaysia dan menukarkan kerusi tiga lagi penyandang ke kawasan lain.
Lapan penyandang berkenaan ialah Natrah Ismail (Sekijang), June Leow (Hulu Selangor), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Tan Yee Kiew (Wangsa Maju), Lee Boon Chye (Gopeng), Chan Ming Kai ( Alor Setar) dan Johari Abdul (Sungai Petani).
Difahamkan, Tan dan Lee, masing-masing berusia 69 dan 63 tahun, telah pun memaklumkan hasrat untuk bersara selepas penggal mereka berakhir.
Empat daripada mereka yang digugurkan - Leow, Chan, Sivarasa dan Johari - gagal merebut jawatan dalam kepimpinan parti ketika pemilihan yang diadakan awal tahun ini.
Johari dan Leow juga tidak memenangi jawatan ketua cabang PKR Sungai Petani dan Hulu Selangor.
dI Sungai Petani, PKR akan meletakkan anak Johari yang merupakan ketua pemuda PKR (AMK) negeri sebagai calon.
Sivarasa pula sebelum ini mempertahankan jawatannya sebagai ketua cabang PKR Sungai Buloh. Bagaimanapun, R Ramanan - naib ketua cabang dipilih sebagai calon parti itu di Sungai Buloh.
Sivarasa ialah penyokong kuat PKR yang telah menyertai parti itu sejak penggabungan Parti Keadilan Nasional dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 2003.
Bagi Natrah pula, dia tidak menyandang jawatan dalam kepimpinan parti di peringkat pusat tetapi tewas pada pemilihan ketua cabang PKR Sekijang.
Natrah hanya mendapat 17 undi manakala pemenang bagi ketua cabang berkenaan, Yoong Thau memperoleh 113 undi.
Chan dan Maria Chin pula tidak menyertai pemilihan parti di peringkat cabang.
Sejak 2008, PKR telah meletakkan Chan sebagai calon di tiga negeri - Perak, Perlis dan Kedah.
Pada 22 Okt, Chan secara terbuka mendedahkan parti itu tidak akan meletakkannya sebagai calon dan akur dengan keputusan itu.
Bagaimanapun, memandangkan Chan baru-baru ini dilantik sebagai pengarah strategik PKR Kedah, dia kemungkinan akan bertanding di peringkat DUN.
Ketika dihubungi, Chan memaklumkan dia tidak ditawarkan untuk bertanding di peringkat DUN mahupun diberitahu berkenaan sebab dia digugurkan daripada bertanding di mana-mana kerusi.
"Saya hanya boleh andaikan saya gagal tunaikan beberapa keperluan (untuk menjadi calon Parlimen) dan agak pelik jika saya dipertimbang untuk kerusi DUN di saat saya tidak dimaklumkan (tentang perkara itu)," katanya.
Katanya lagi, pengguguran itu dibuat secara tiba-tiba dan dia belum memutuskan langkah seterusnya.
Sebaliknya, Maria Chin pula merupakan bekas aktivis hak wanita dan reformasi pilihan raya yang dilihat tidak mempunyai pengaruh dalam parti.
Sementara itu, tiga penyandang ahli parlimen PKR akan mencuba nasib di kawasan baru. Mereka ialah:
- Anwar Ibrahim: dari Port Dickson ke Tambun
- Dr Wan Azizah Wan Ismail: dari Pandan ke Bandar Tun Razak
- Shamsul Iskandar Md Akin: dari Hang Tuah Jaya ke Bagan Datuk
PKR telah mengumumkan senarai 72 calon parlimen di Semenanjung Malaysia malam tadi.
Senarai itu belum muktamad kerana calon di Parlimen Sungai Siput, Sembrong dan Tapah masih dalam pertimbangan.
Parti itu akan mengumumkan calonnya di Sabah dan Sarawak pada 31 Okt dan 1 Nov.
Sehubungan itu, senarai muktamad penyandang yang telah digugurkan atau dikekalkan tidak dapat dipastikan pada ketika ini.