Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ong Tee Keat sah sertai Warisan, intai kerusi Pandan
Diterbitkan:  Oct 29, 2022 9:38 AM
Dikemaskini: 1:38 AM

PRU15 | Bekas Presiden MCA, Ong Tee Keat dilapor membuat kemunculan semula dalam politik apabila menyertai Parti Warisan.

Bekas menteri pengangkutan itu juga berkata dia "cenderung" bertanding di kawasan lamanya di Pandan pada pilihan raya umum (PRU) tak lama lagi, menurut laporan Sin Chew Daily semalam.

Ong berkata, Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal menghubunginya beberapa bulan lalu dan dia bersetuju menyertai parti itu selepas mempertimbangkannya secara serius.

Ong berkata dia memutuskan untuk membuat kemunculan semula kerana perkembangan politik Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Selain daripada lompat parti yang mengerikan, sesetengah ahli politik tidak mempunyai pendirian atau pandangan yang tegas.

“Salah satu perkara yang membingungkan saya ialah peruntukan bajet menjadi lebih tidak seimbang berbanding semasa saya dalam kerajaan, namun suara-suara yang berbeza menjadi semakin lemah,” Ong dipetik berkata.

Katanya, belanjawan yang dibentangkan semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin adalah sangat cacat, dan kurangnya tekanan daripada pembangkang menyebabkan dia kecewa.

Ong turut membidas memorandum persefahaman antara Pakatan Harapan (PH) dan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

“(Memorandum) adalah seperti gencatan politik dan negara lain juga melakukan ini, tetapi ia tidak sepatutnya menjadi 'pelucutan senjata'.

“Ia merugikan diri sendiri. Apa kata pengundi? Harga untuk reformasi di parlimen tidak seimbang dan hanya biarkan Ismail Sabri mengharungi sedikit pergolakan. Adakah itu yang rakyat mahukan? Saya tidak fikir begitu," katanya.

Kemunculan semula Ong

Sementara itu, Bernama malam tadi melaporkan Shafie memberitahu pemberita di Tenom, Sabah, bahawa “seorang bekas presiden MCA” akan menjadi antara calon Warisan di Semenanjung Malaysia, bersama bekas pemimpin dan ahli dari PKR dan Umno.

Shafie bagaimanapun tidak menamakan bekas presiden MCA berkenaan.

Ong menyertai MCA pada 1981 dan kemudian menjadi presiden parti itu dan menteri pengangkutan. Dia mendapat pujian kerana mendedahkan rasuah dalam peruntukan untuk sekolah Cina dan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ong berkhidmat sebagai ahli parlimen Ampang Jaya selama lima penggal dari 1989 hingga 2013. Kawasan itu dinamakan semula sebagai Pandan selepas itu.

Bagaimanapun, Ong keluar parti pada 2017 dan enggan memberikan alasan berbuat demikian walaupun selepas pihak media menghidu berita peletakan jawatannya beberapa bulan kemudian.

Bulan lalu, Warisan membayangkan Ong akan menyertai parti itu, tetapi dia enggan mengesahkannya secara terbuka pada masa itu.

PKR mengumumkan timbalan presidennya Rafizi Ramli akan bertanding di Pandan pada pilihan raya umum akan datang.

Rafizi sebelum ini menyandang kerusi itu dari 2013 hingga 2018.

Penyandang kerusi sekarang ialah Dr Wan Azizah Wan Ismail dari PKR, yang akan bertukar kerusi dan bertanding di kerusi Bandar Tun Razak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 5 Nov, manakala hari pengundian pada 19 Nov.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS