PRU15 | Rakyat Malaysia tidak lagi perlu bekerja di Singapura jika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, kata Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming.
Bercakap pada majlis makan malam bagi mengumpul dana parti itu di Muar, Johor malam tadi, Nga mendakwa PH akan meningkatkan ekonomi negara sehingga rakyat Singapura akan berpusu-pusu ke Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan.
Nga berkata, pengerusi PH, Anwar Ibrahim, yang pernah dinamakan antara empat menteri kewangan terbaik di rantau ini, mampu memulihkan semula kewangan negara.
Selain nilai ringgit yang merosot, dia mendakwa pelabur asing tidak mempunyai keyakinan terhadap pentadbiran semasa dan keadaan akan menjadi lebih buruk jika BN memenangi pilihan raya kali ini.
“Jika BN menang, dolar AS kepada ringgit akan menjadi 1:5, dolar Singapura kepada ringgit akan menjadi 1:3.5. Belia di Johor akan dipaksa bekerja di Singapura.
“Jika ini berlaku, industri perabot di Muar tidak akan dapat mengambil pekerja tempatan. Rakyat Johor akan bangun pada pukul 5 pagi untuk menyeberang ke Singapura untuk bekerja dan pulang ke rumah pada waktu malam.
“Jadi kita kena tukar kerajaan. Kemudian, rakyat Singapura boleh datang ke Malaysia untuk bekerja, bukan sebaliknya,” tambahnya.
Kesesakan di sempadan Johor Bahru - Singapura bukan isu baru memandangkan hampir satu juta rakyat Malaysia bekerja di republik itu.
Nga menegaskan di bawah pemerintahan DAP selama tiga penggal, Pulau Pinang menjadi negeri pengeksport terbesar di Malaysia manakala rizab negeri Selangor yang ditadbir PH meningkat daripada RM300 juta kepada RM3.4 bilion antara 2008 dan 2022.
Pemimpin DAP itu juga mendakwa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi cuba menipu pengundi bahawa Ismail Sabri Yaakob akan dilantik semula sebagai perdana menteri jika BN memenangi PRU.
Dia mengingatkan pengundi mengenai Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohamad yang dinamakan sebagai calon menteri besar sebelum pilihan raya negeri pada Mac lalu tetapi sepupu bekas perdana menteri Najib Razak, Onn Hafiz, yang kemudian mengangkat sumpah sebagai menteri besar.
Nga mendakwa senario serupa akan berlaku di peringkat persekutuan kerana Zahid yang "terdesak untuk melarikan diri dari kes mahkamahnya", akan dilantik sebagai perdana menteri untuk "campur tangan dalam proses kehakiman".
Mengenai Perikatan Nasional pula, naib pengerusi DAP itu berkata undi untuk gabungan itu sama seperti menyokong Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.