Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin bohong, kata Waytha 
Diterbitkan:  Oct 28, 2022 1:56 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

Bekas menteri Pakatan Harapan (PH), P Waythamoorthy, menafikan dia berperanan dalam usaha kerajaan ketika itu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Kata Waythamoorthy, dakwaan yang dibuat Saifuddin Abdullah semalam adalah suatu pembohongan terang-terangan dan dianggap sebagai menghina kebijaksanaan rakyat.

“Semua orang tahu, sebagai menteri perpaduan ketika itu, bagaimana saya boleh bertanggungjawab dalam rundingan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai komitmen Malaysia meratifikasi perjanjian antarabangsa?

“Isu mengenai Icerd tercetus kerana Saifuddin menyelitkan komitmen Malaysia dalam ucapan yang Dr Mahathir Mohamad sampaikan pada perhimpunan agung PBB," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah bekas senator itu lagi, apa yang berlaku ketika itu memang diketahui ramai dan ia adalah sebahagian daripada usaha Saifuddin melaksanakan manifesto PH iaitu meratifikasi semua konvensyen PBB yang masih ada.

Mengulas lanjut, Waythamoorthy menegaskan tugas meratifikasi perjanjian antarabangsa adalah jelas berada dalam bidang kerja menteri luar, menteri undang-undang, dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Mahathir Mohamad

Semalam, Malaysiakini memetik Saifuddin sebagai berkata Waythamoorthy adalah menteri yang mengendalikan cubaan Malaysia meratifikasi Icerd.

Untuk rekod, semasa PH menjadi kerajaan Saifuddin merupakan menteri luar manakala Waythamoorthy dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam bidang perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial.

Mahathir pula merupakan perdana menteri.

Saifuddin sudah meninggalkan PKR dan PH dan kini menyertai Bersatu. Dia merupakan pengerusi PN Pahang dan dilantik menjadi menteri luar.

Menurut Saifuddin, mengikut ingatannnya, tidak ada kertas kabinet dibentangkan untuk meratifikasi Icerd, selain tidak faham mengapa dia diserang berhubung isu berkenaan.

Saifuddin Abdullah

Tambah penyandang kerusi parlimen Indera Mahkota itu, satu-satunya perjanjian antarabangsa yang dia terlibat ialah Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED) dan Konvensyen PBB Menentang Penyeksaan.

Tambah Waytha, tindakan Saifuddin itu jelas menunjukkan yang menteri luar terbabit kini terdesak untuk mengelak daripada sebarang tanggungjawab berhubung perkara berkenaan.

"Dia perlu mengakui peranannya untuk meyakinkan Mahathir agar menyampaikan komitmen Malaysia menerima Icerd pada ucapan perhimpunan PBB," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS