Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beri cuti kepada pelajar matrikulasi, pelatih guru juga - Maszlee
Diterbitkan:  Oct 28, 2022 10:02 AM
Dikemaskini: 2:03 AM

PRU15 | Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menggesa supaya pelepasan turut diberikan kepada pelajar matrikulasi supaya mereka dapat mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Katanya, pelepasan juga perlu diberikan kepada pelatih guru di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan pelajar vokavional.

“Harap Kementerian Pendidikan Malaysia dapat berikan para pelajar Matrikulasi, pelatih guru IPGM dan penuntut Kolej Vokasional cuti seperti para pelajar IPTA sewaktu hari mengundi,” kata Maszlee dalam satu kenyataan ringkas disiarkan di Facebooknya semalam.

Pada 22 Oktober lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dilapor bersetuju memberi pelepasan selama lima hari bermula 17 Nov ini kepada pelajar untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Surat mengenai perkara itu telah diedarkan kepada semua IPT awam dan swasta termasuk Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti untuk tindakan lanjut.

Mengikut surat berkenaan, semua kelas dan aktiviti pelajar dalam tempoh tersebut hendaklah ditangguhkan dan diadakan ke suatu tarikh lain.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai hari mengundi, manakala hari penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS