Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid ucapkan selamat datang pada Shamsul, Tawfik

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata dia mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin mencabarnya di kerusi parlimen Bagan Datuk.

Zahid, yang juga presiden Umno berkata dia terbuka untuk mempunyai pesaing dan yakin pengundi Bagan Datuk tidak akan mengundi orang luar.

Ini selepas PKR bercadang menurunkan bekas naib presidennya Shamsul Iskandar Mohd Akin untuk bertanding di Bagan Datuk.

"Saya terbuka. Diucapkan selamat datang. Pengundi Bagan Datuk semestinya akan memilih calon tempatan," katanya melalui aplikasi pesanan ringkas kepada Malaysiakini.

Bekas timbalan perdana menteri itu menjawab permintaan untuk mengulas laporan bahawa Shamsul Iskandar (gambar, atas) dan bekas ahli parlimen Sungai Benut Tawfik Ismail, akan bertanding di kerusi Bagan Datuk.

Tawfik juga anak sulung kepada timbalan perdana menteri kedua Malaysia Dr Ismail Abdul Rahman.

Shamsul ialah penyandang kerusi parlimen Hang Tuah Jaya di Melaka dan pernah menewaskan 'gergasi' politik Melaka bekas ketua menterinya Mohd Ali Rustam pada pilihan raya umum 2018.

Bagaimanapun, untuk PRU15, PKR dilaporkan bercadang untuk menghantarnya berdepan Zahid dan bukannya mempertahankan Hang Tuah Jaya.

Zahid dan Tawfik.

Malaysiakini mendapat tahu bahawa kerusi Melaka akan ditandingi oleh Ketua AMK (Pemuda PKR) Adam Adli.

Tawfik pula baru-baru ini mengumumkan hasratnya untuk melawan Zahid sebagai calon bebas di bawah platform calon bebas.

Ahli politik berusia 71 tahun itu dipilih sebagai ahli parlimen Sungai Benut pada 1986. Dia keluar Umno pada tahun berikutnya selepas krisis pemilihan pucuk pimpinan Umno.

Kedua-dua Shamsul dan Tawfik dijangka berdepan pertarungan sengit menentang Zahid di kubu kuat Umno, yang dikuasai parti itu sejak pilihan raya umum pertama negara.

Zahid sendiri telah memegang kerusi parlimen Bagan Datuk selama enam penggal berturut-turut sejak pertama kali memenanginya pada 1995, menewaskan setiap pencabar daripada pelbagai parti termasuk PKR, PAS dan Semangat 46.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS