Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Benarkah RUU355 hanya selangkah lagi jadi realiti?

ULASAN | Saya ada terbaca satu tulisan yang menyatakan bahawa rang undang-undang (RUU) yang dicadangkan bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) tidak sempat dibentangkan kerana parlimen terbubar.

Pembubaran itu, kata penulisnya, berlaku ketika RUU berkenaan - yang lebih dikenali sebagai RUU355 - sudah siap.

Lalu diceritakan kepada orang ramai bahawa pada 26 Ogos 2022, kabinet telah bersetuju - secara prinsip - dengan cadangan penggubalan RUU355.

Draf RUU355 juga, dakwa tulisan tersebut, telah disemak dan diluluskan oleh Bahagian Penggubalan Undang-undang di Jabatan Peguam Negara pada 7 Okt lalu.

"Cuma tinggal nak bentang saja," dakwa tulisan tersebut.

Benarkah RUU itu hanya selangkah saja lagi untuk jadi kenyataan? Atau ia sebenarnya tidak lebih daripada alasan PAS kerana - walaupun sudah tiga tahun mereka berada dalam kerajaan - masih gagal melaksanakan janji?

Menteri beri penjelasan

Mari kita lihat proses bagaimana sesuatu RUU itu boleh menjadi undang-undang.

Pertama, menteri yang berkaitan merangka dasar.

Kedua, menteri terbabit menyediakan usul RUU dan dihantar ke Jabatan Peguam Negara dan perbincangan berlangsung dengan Perbendaharaan dan kementerian berkaitan.

Ketiga, draf RUU undang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara.

Selepas itu draf berkenaan dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Agama Islam (MKI) untuk kelulusan.

Apabila sudah diluluskan, barulah draf tersebut diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapatkan perkenan.

Seterusnya draf berkenaan dibawa semula ke kabinet. Ia akan mengambil giliran untuk masuk ke Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) di Dewan Rakyat.

Untuk bacaan kali pertama, notis pemberitahuan tentang usul dikemukakan kepada Setiausaha Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Menteri membaca tajuk.

Untuk bacaan kali kedua, RUU berkenaan dibahaskan di Dewan Rakyat dengan mengambil kira kepentingan dan kesan usul tersebut kepada rakyat. Menteri berkaitan pula akan memberikan penjelasan terhadap sebarang persoalan yang dibangkitkan.

Kemudian Dewan Rakyat akan membuat undian sama ada ia diterima atau ditolak.

Apabila melepas undian, ia akan dibawa dan dibahaskan di peringkat jawatankuasa dengan setiap fasa, jadual dan panduan diteliti dengan terperinci. Jika ada pindaan yang perlu dilakukan, ia akan dibuat.

Selepas itu ia akan dibaca buat kali ketiga di Dewan Rakyat sebelum dihantar ke Dewan Negara untuk dibahas serta diluluskan. Hanya jika ia mendapat undi majoriti barulah RUU berkenaan diterima sebagai suatu akta.

Pun begitu, sebelum boleh diwartakan, ia perlu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong. Sekiranya ia tidak diperkenankan selepas tempoh 30 hari, RUU tersebut akan tetap menjadi undang-undang mengikut Perkara 66 Fasa 4 Perlembagaan Persekutuan.

Selepas itu ia akan dicatatkan dalam Warta Kerajaan sebagai RUU sah dengan kuasa Parlimen. Dinyatakan juga tarikh penguatkuasaan untuk ia diamalkan.

Melihat kepada aliran di atas, jelaslah bahawa PAS sebenarnya baru saja berada di tangga ketiga. Masih terlalu jauh lagi untuk RUU355 menjadi kenyataan, bukan hanya selangkah seperti yang didakwa parti tersebut.

Kesimpulannya, selepas tiga tahun PAS menjadi kerajaan, belum ada satu hal pun yang berjaya diselesaikan.


HISHAM FAUZI ialah mantan pegawai tugas-tugas khas (parlimen) kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS