Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Waythamoorthy kendalikan Icerd, bukan saya - Saifuddin
Diterbitkan:  Oct 27, 2022 6:41 PM
Dikemaskini: 11:03 AM

P Waythamoorthy ialah menteri kabinet yang mengendalikan cubaan Malaysia untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Ini berdasarkan penjelasan Pengerusi Perikatan Nasional Pahang Saifuddin Abdullah yang merupakan menteri luar negeri semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Saifuddin hari ini berkata satu-satunya perjanjian antarabangsa yang dia terlibat ialah Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED) dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan.

"Seingat saya tidak ada kertas kabinet dibentangkan untuk ratifikasi Icerd...saya ada buat kenyataan Icerd bukan keutamaan.

"Saya tidak faham kenapa saya diserang tentang Icerd," katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 22 Okt berkata dirinya merupakan individu yang memulakan langkah untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Jelasnya, ini sebagai tindak balas terhadap usaha pentadbiran PH mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa dengan memeterai Statut Rom dan cubaan menandatangani konvensyen PBB mengenai antipenindasan kaum (Icerd).

Pada September 2018, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad telah memberitahu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-73 bahawa Malaysia akan meratifikasi Icerd.

Gambar fail.

Ini mencetuskan bantahan dan demonstrasi di dalam negara yang digerakkan pembangkang ketika itu, Umno dan PAS. Akhirnya, kabinet Mahathir membatalkan idea itu dalam masa kurang dua bulan.

Selepas pendedahan Abdul Hadi tentang peranannya dalam "Langkah Sheraton", Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan veteran DAP Lim Kit Siang telah menuduh Hadi melupakan peranan sekutu barunya Saifuddin dalam isu Icerd.

Pada perhimpunan malam tadi, Anwar menuduh Abdul Hadi kini berkempen untuk Saifuddin.

Lim juga menegaskan bahawa tiada seorang pun pemimpin DAP dalam pentadbiran PH yang memegang sebarang portfolio berkenaan ratifikasi Icerd dan Statut Rom.

Kata Lim, melalui isu Icerd Saifuddin berjaya secara tidak sengaja memberikan talian hayat kepada Umno dan PAS pada 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS