Gabungan parti-parti hak Melayu, Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Dr Mahathir Mohamad sedia untuk menjalin kerjasama dengan kedua-dua Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Mahathir berkata rundingan dengan PN sedang berjalan, sementara dia masih menunggu jawapan daripada PH dan pengerusinya Anwar Ibrahim.
Bercakap pada sidang media di Putrajaya, Mahathir berkata rundingan dengan PN sedang berdepan beberapa masalah kecil dan belum ada perjanjian dibuat setakat ini.
“Saya kena jelaskan bahawa rundingan dengan PN masih diteruskan, ada beberapa masalah kecil yang masih belum kami selesaikan,” katanya.
Ditanya mengenai kerjasama dengan PH, Mahathir berkata dia telah menyatakan dengan jelas bahawa dia mahu melibatkan mereka tetapi belum mendapat maklum balas.
PN dan PH dijangka akan bertembung pada pilihan raya dalam usaha untuk menyingkirkan BN.
Bagaimanapun, Mahathir menegaskan bahawa kerjasama pembangkang diperlukan untuk memastikan BN diusir dari Putrajaya semula.
Mahathir pada sidang media hari ini berkata buat masa ini, GTA menyasarkan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 100 kerusi - yang mungkin meningkat kepada lebih 120 jika mereka memutuskan untuk bertanding di Sabah dan Johor.
Bagaimanapun, buat masa ini, gabungan itu hanya mengumumkan calon untuk lapan kerusi - yang Mahathir harap dapat dikekalkan jika mereka membentuk pakatan pilihan raya dengan PN.
Kerusi yang dinamakan hari ini ialah:
Langkawi - Mahathir
Jerlun - Mukhriz Mahathir
Kubang Pasi - Amiruddin Hamzah
Sepang - Che Asmah Ibrahim
Tapah - Mior Nor Haidir Suhaimi
Hulu Selangor - Harumaini Omar
Kuala Selangor - Mohd Shaid Rosli
Titiwangsa - Khairuddin Abu Hassan