Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berkata bahawa rundingan berhubung calon gabungan itu di kerusi parlimen Sungai Siput pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) masih berlangsung.
"Buat masa ini kekal calon PKR di Sungai Siput. Tapi, rundingan di jawatankuasa perundingan masih diteruskan.
"Belum sampai kepada saya. Saya mewakilkan tugas langsung kepada kawan-kawan yang terlibat," katanya di sidang media di Manjoi, hari ini.
Dia merujuk kepada rundingan PH dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) berhubung kerusi parlimen Sungai Siput.
Bekas presiden MIC, S Samy Vellu pernah berkhidmat sebagai ahli parlimen Sungai Siput selama lapan penggal dari tahun 1974, sebelum tewas kepada calon PSM Micheal Jeyakumar pada PRU 2008.
Jeyakumar mempertahankan kerusi itu pada 2013 tetapi kalah kepada Calon PKR S Kesavan pada 2018 selepas perbincangan bagi mengelakkan pertembungan antara PH dan PSM tidak tidak berjaya.
Sebelum ini, PSM meminta PH memberi laluan kepada Jeyakumar bertanding di Sungai Siput. Parti mesra PH itu bersedia menggunakan logo gabungan itu.
Kedua-dua pihak kemudian menubuhkan jawatankuasa perundingan untuk membincang pengagihan kerusi. Namun, sehingga kini tiada sebarang keputusan berhubung calon diumumkan.
Jeyakumar di Sg Siput, Kesavan di Hutan Melintang?
Sementara itu, satu sumber dalaman PKR memberitahu Malaysiakini, terdapat kemungkinan Jeyakumar diberi peluang di Sungai Siput dan Kesavan akan bertanding di DUN Hutan Melintang.
"Sekiranya, PH berjaya menubuhkan kerajaan di Perak dan Kesavan menang di Hutan Melintang, maka dia diberi peranan sebagai exco kerajaan negeri.
"Ini satu cadangan 'situasi menang-menang' kepada semua pihak. Namun, sebarang keputusan akhir akan dibuat oleh pucuk pimpinan PH," kata sumber itu.
Sementara itu, sebuah gabungan NGO masyarakat India berkata bahawa Jeyakumar merupakan pilihan terbaik PH di Sungai Siput.
Pengerusi Reformasi Rakyat Malaysia (Rapat) Rajaretinam Armuggan berkata bahawa Jeyakumar melakukan kerja yang bagus kepada penduduk tempatan dan oleh itu dia “dirindui”.
"Sudah tiba masanya PH mempertimbangkan semula Jayakumar untuk Sungai Siput jika PH mahu mengekalkan kerusi itu.
"Ahli parlimen semasa, Kesavana mempunyai beberapa isu yang akan memudahkan MIC/BN mencipta senario terburuk kepadanya.
"Kesavan boleh bertanding di lokasi lain di Kedah, Selangor atau Perak," katanya kepada Malaysiakini.
Rapat merupakan NGO yang merangka manifesto untuk kaum India Malaysia, memberi tumpuan kepada dasar yang akan digubal di peringkat persekutuan dan negeri jika PH mengambil alih kerajaan semula.
Pada 17 Mei 2019, Malaysiakini melaporkan R Kesavan dan bekas pembantunya itu saling membuat laporan polis antara satu sama lain.
Dalam laporan polis itu, Indrani mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual anggota parlimen PKR berkenaan sejak Disember tahun lalu.
Kesavan pula membuat laporan polis mengadu tentang trauma dan gangguan jiwa terhadapnya. Kes itu masih dibicara di mahkamah rayuan.
Sementara itu, Rajaretinam berkataPH sepatutnya berkongsi kerusi yang ditandingi oleh Bersatu ketika mereka bersama gabungan itu.
"Bersatu meninggalkan PH dengan 52 kerusi parlimen dan kira-kira 120 kerusi DUN.
"Ia harus dikongsi sesama PH dan juga dengan PSM, Muda (Ikatan Demokrasi Malaysia). Kedua-dua parti itu akan menambahkan nilai kepada PH," katanya.