Majoriti calon Umno yang bertanding kerusi Parlimen di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah anak tempatan, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar.
Noh yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor berkata Umno akan bertanding di 10 kerusi pada PRU15 antaranya Sabak Bernam, Tanjong Karang, Sungai Besar, Kuala Selangor, Sepang dan Gombak.
“Boleh dikatakan majoriti calon Umno (Selangor) anak tempatan,” kata penyandang kerusi Parlimen Tanjong Karang itu kepada pemberita selepas melawat Hospital Tanjong Karang di sini hari ini.
Noh berkata BN Selangor akan mengetengahkan calon yang boleh menang pada PRU15 dengan mereka adalah dalam kalangan memahami masalah rakyat setempat dan sedia berkhidmat untuk rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.
- Bernama