Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak mahu terlibat dengan serangan peribadi terhadap penyandang parlimen Tambun Ahmad Faizal Azumu yang membidasnya baru-baru ini.

Sebaliknya, kata Anwar, dia lebih suka memberi tumpuan kepada gambaran yang lebih besar.

"Tak mahu layan hubungan peribadi oleh calon, Peja (Ahmad Faizal). Bapa dia saudara baik saya, mertua pun sahabat baik saya. Tokoh yang banyak bantu saya masa dalam Umno.

"Tak mahu ini jadi gelanggang lawan peribadi. Kita tawarkan sesuatu. Saya pilih Tambun untuk melonjakkan kekuatan di Perak.

Kedua, untuk tawan Putrajaya. Landskap politik harus berubah. Malaysia perlu meningkat jauh lebih baik dan maju.

"Saya tahu ia tidak semudah Permatang Pauh atau Port Dickson atau banyak kerusi di Selangor.

"Saya diberi kerusi ini tetapi saya fikir adalah wajar bagi saya mencuba tahap terbaik untuk menawarkan perkhidmatan kepada rakyat dan mendapat kerusi baru. Kita bercakap tentang membentuk kerajaan," kata Anwar.

Awal minggu ini, Anwar mengingatkan mereka yang membayangkan dia sebagai calon 'payung terjun' di Perak dengan bertanding di Tambun bahawa dia tinggal di negeri itu selama sembilan tahun, termasuk dua tahun ditahan di Kamunting.

Ia sebagai respons kepada kepada klip video pendek memaparkan Ahmad Faizal Azumu menyahut cabaran Anwar untuk kerusi Tambun dengan peringatan tentang cara bercakap dialek tempatan.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat sebarang maklum balas terhadap permintaan PSM untuk meletakkan ahli parlimen dua penggal Dr Michael Jeyakumar di Sungai Siput dan bukannya penyandang PKR S Kesavan, Anwar berkata perkara itu belum sampai kepadanya.

“Buat masa ini calon PKR di Sungai Siput akan diletakkan, tetapi rundingan masih diteruskan.

“Ia belum sampai kepada saya dan saya telah menyerahkan secara langsung tugas kepada mereka yang lebih terlibat secara langsung dalam proses pemilihan Perak,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS