Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mamat tepi jalan pun boleh taip' - Ahmad nafi senarai dakwa calon BN Johor

Penyandang kerusi parlimen Pontian Ahmad Maslan menafikan senarai yang dikatakan merupakan calon BN Johor bagi pilihan raya umum (PRU) ke-15, yang tidak mengandungi namanya untuk mempertahankan kerusinya bagi penggal keempat.

Ketika dihubungi, Ahmad menyifatkan senarai itu sebagai "senarai mamat tepi jalan" yang tidak perlu diberi perhatian.

"Senarai ada bertimbun, sesiapa sahaja boleh menaipnya. Mamat tepi jalan pun boleh taip," kata setiausaha agung Umno itu kepada Malaysiakini hari ini.

Menurut senarai itu yang dilihat oleh Malaysiakini, Setiausaha Eksekutif Umno Mohd Sumali Reduan akan diletakkan di Pontian bagi menggantikan Ahmad, manakala Ketua Umno Bahagian Pontian Hasni Mohammad - juga pengerusi BN negeri Johor - akan digerakkan untuk bertanding di Simpang Renggam.

"Senarai itu adalah senarai yang dibuat oleh entah siap-siapa, tak tahu hujung pangkal, tak tahu sumber-sumber, saja nak mengacau.

"Senarai palsu lah. Senarai belum siap jadi macam mana ada senarai keluar? Saya tahu lah senarai belum siap," kata Ahmad, yang juga timbalan Hasni dalam Umno Pontian.

Ahmad berkata terdapat juga senarai yang dikatakan sebelum ini tetapi dengan namanya disertakan.

Selepas berulang kali menegaskan dia tidak dibenarkan membuat sebarang pengumuman rasmi, Ahmad bagaimanapun menyatakan hasratnya untuk kekal di Pontian.

"Saya tak tukar-tukar. Apahal saya nak tukar? Saya orang tempatan Pontian," kata Ahmad.

Selasa lalu, Berita Harian memetik sumber BN Johor yang membayangkan hasrat Hasni untuk bertanding di Pontian, manakala Ahmad ditawarkan kerusi Simpang Renggam.

Sumber itu dilaporkan mendedahkan usaha berterusan untuk meyakinkan MCA supaya melepaskan kerusinya di Tanjung Piai, yang kini disandang oleh penyandang Wee Jeck Seng, sebagai pertukaran untuk Simpang Renggam - yang secara tradisinya ditandingi oleh Gerakan untuk BN, yang kini bersama Perikatan Nasional (PN).

Menurut laporan Berita Harian, perjanjian itu akan menyaksikan Hasni ditandingkan di Tanjung Piai, Ahmad kekal di Pontian, dan Wee berpindah ke Simpang Renggam.

Hasni, bekas menteri besar Johor, memegang kerusi parlimen Pontian dari 2004 hingga 2008, dan mengetuai Umno bahagian Pontian sejak 2001.

'Perbincangan hanya di peringkat atas'

Sementara itu, Ketua Umno Tanjung Piai Senator Jefridin Atan berkata sebarang rundingan hanya akan melibatkan pemimpin tertinggi parti, manakala mereka di peringkat bahagian ditugaskan untuk menyokong mana-mana calon yang dipilih.

“Sebarang perbincangan akan di peringkat atasan. Kami di bahagian tiada kuasa untuk berunding.

"Kami hanya meminta untuk dipilih, itu sahaja," kata Jefridin kepada Malaysiakini.

“Kami di bahagian mempunyai hak untuk meminta (untuk calon) tetapi keputusan terletak pada presiden.

“Kita ikut sahaja apa yang telah diputuskan,” kata Adun Kukup itu.

Jefridin menambah isu pencalonan Hasni di Tanjung Piai akan diserahkan kepada kepimpinan Umno, sambil berikrar menyokong mana-mana calon BN pada PRU15.

Malaysiakini difahamkan susulan mesyuarat BN Johor malam tadi, Hasni dijangka bertemu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi esok untuk memuktamadkan senarai calon negeri itu, menjelang pengumuman rasmi minggu depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS